Ringkasan AI
- Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memberi keterangan hampir enam jam kepada SPRM dan dijangka akan menyambung memberi keterangan pada Isnin.
- Keterangan beliau diambil bagi siasatan kes rasuah dan pengubahan wang haram yang melibatkan empat pegawai kanan beliau yang telah ditahan.
- SPRM menemui wang tunai RM170 juta dan jongkong emas di sebuah kondominium yang dipercayai dijadikan 'safehouse' oleh pembantu kepada bekas Perdana Menteri itu.
Menurut sumber daripada SPRM, Ismail Sabri dijangka akan menyambung memberi keterangan kepada SPRM pada Isnin ini.
Bagaimanapun, waktu beliau akan hadir ke SPRM belum diketahui lagi.
Terdahulu, Ismail Sabri hadir pada jam 8.45 pagi bagi proses rakaman keterangan beliau untuk hari kedua.
Beliau kemudian keluar dari bangunan SPRM pada 12.30 tengah hari tadi untuk menunaikan solat Jumaat.
Ahli Parlimen Bera itu masuk semula ke ibu pejabat SPRM pada jam 3.25 petang untuk menyambung semula memberi keterangan.
Semalam, keterangan Ismail Sabri dirakam hampir enam jam, apabila beliau hadir ke ibu pejabat SPRM kira-kira 9.45 pagi dan hanya beredar pada 3.15 petang.
Ismail Sabri dalam satu kenyataan semalam memaklumkan, beliau akan memberi kerjasama sehingga siasatan membabitkannya selesai.
Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki sebelum ini mengesahkan keterangan Ismail diambil bagi siasatan kes rasuah dan pengubahan wang haram berkait empat pegawai kanan beliau yang telah ditahan.
Sebelum ini, SPRM mendedahkan, wang tunai RM170 juta dengan pelbagai mata wang serta jongkong emas ditemui di sebuah kondominium di ibu negara yang dipercayai dijadikan 'safehouse' oleh pembantu kepada bekas Perdana Menteri itu.
