KUALA TERENGGANU: Terengganu merekodkan 533 kes penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) dalam tempoh 1 Jan hingga 8 Mac lepas.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri Datuk Wan Sukairi Wan Abdullah berkata Kuala Terengganu mencatat jumlah kes tertinggi iaitu 198 kes diikuti Kuala Nerus (66 kes), Setiu (57 kes), Dungun (55 kes), Marang (47 kes), Hulu Terengganu (45 kes), Kemaman (38 kes) dan Besut (27 kes).

"Jumlah kes HFMD itu meningkat 100 kes berbanding tempoh sama tahun lepas. Setakat ini sebanyak 10 kluster dilaporkan termasuk sembilan di taska dan satu di tabika.

"Kluster dikira apabila terdapat dua atau lebih kes dalam satu lokaliti dan kes mempunyai kaitan epidemiologi serta berlaku dalam tempoh inkubasi penyakit HFMD," katanya dalam kenyataan hari ini.

Berikutan peningkatan kes di Terengganu, Wan Sukairi menasihatkan orang ramai terutama ibu bapa agar mengambil langkah pencegahan bagi mengawal jangkitan penyakit itu.

Antaranya elak daripada membawa kanak-kanak yang mempunyai tanda jangkitan ke tempat awam dan mengamalkan langkah kebersihan di premis seperti taska dan tabika.

-- BERNAMA