KUALA LUMPUR: Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil hari ini mengadakan pertemuan dengan beberapa wakil organisasi dan pengamal media bagi membincangkan isu kebajikan kakitangan media.

Dalam perbincangan tertutup lebih sejam di Bangunan Parlimen yang dihadiri kira-kira 30 petugas media itu, beberapa isu menjadi fokus khususnya masalah kelewatan melunaskan gaji, kegagalan membayar pampasan, kehilangan pekerjaan dan ketidakpatuhan terhadap manfaat pekerja.

Sejak beberapa bulan lepas, Kementerian Komunikasi menerima laporan daripada pengamal media bahawa majikan gagal membayar gaji mereka tepat pada waktunya, serta mengabaikan caruman termasuk Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Selain Kementerian Komunikasi, pihak yang terkesan turut membuat laporan polis dan aduan kepada Jabatan Tenaga Kerja (JTK) mengenai pengabaian majikan.

Pada pertemuan itu, Fahmi berkata kerajaan MADANI memandang serius trend peningkatan isu melibatkan kebajikan pengamal media dan mahu setiap majikan serta syarikat bertanggungjawab terhadap kakitangan mereka.

Justeru, sebagai bantuan segera kepada pengamal media yang terjejas, Kementerian Komunikasi secara konsisten menghulurkan sumbangan menerusi Tabung Kasih @ Hawana yang dikendalikan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama).

Selain isu gaji, perubahan landskap media yang berkembang pesat dengan teknologi kecerdasan buatan (AI) turut memberi kesan kepada industri media, sekali gus menyebabkan ramai pengamal media terpaksa diberhentikan.

Sehubungan itu, Fahmi berkata kementerian akan mengadakan sesi libat urus berkala dengan pihak media bagi mendapatkan input serta penyelesaian jangka panjang, bagi melindungi industri berkenaan.

Sementara itu, beberapa pengamal media yang ditemui menzahirkan penghargaan kepada Fahmi atas keprihatinan berterusan beliau membela nasib mereka.

Menurut mereka, Fahmi merupakan menteri pertama yang mengadakan perbincangan seumpamanya, sekali gus bertindak sebagai pemudah cara dan perantara bagi membantu mereka menyampaikan gesaan terhadap majikan masing-masing.

Baru-baru ini, 15 petugas Petra News Sdn Bhd menuntut pembayaran segera caruman KWSP, Potongan Cukai Bulanan (PCB) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) bagi tahun lepas.

Menerusi kenyataan bersama, mereka memaklumkan semakan dengan KWSP, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Perkeso mendapati Petra News gagal menyerahkan bayaran bagi pihak pekerja dan majikan kepada pihak berkuasa berkaitan, walaupun pemotongan gaji telah dibuat untuk caruman berkenaan.

-- BERNAMA