NEW YORK: Pejabat Peguam Negara New York mendedahkan video bekas Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump ketika memberi keterangan bersumpah Ogos lalu dalam siasatan kes penipuan sivil.

Trump membuka keterangan bersumpah itu dengan menggunakan Pindaan Kelima dan enggan menjawab soalan yang diberikan Peguam Negara.

Trump dilihat menolak menjawab kepada semua soalan, mengulangi frasa "jawapan yang sama".

"Saya langsung tiada pilihan kerana pentadbiran semasa dan ramai pendakwa raya di negara ini telah kehilangan semua batasan moral dan etika kesopanan.

"Sesiapa dalam kedudukan saya yang tidak mengambil Pindaan Kelima akan menjadi bodoh, bodoh mutlak," kata Trump.

Peguam Negara New York Letitia James kemudiannya menyaman Trump dan Organisasi Trump, kerana mengelirukan bank dan pihak berkuasa cukai tentang nilai aset seperti padang golf dan bangunan pencakar langit untuk mendapatkan pinjaman dan faedah cukai.

Tindakan undang-undang yang belum selesai itu boleh membawa kepada penalti sivil terhadap syarikat Trump jika Peguam Negara Demokrat menang.

Demokrat mahu AS$250 juta dan larangan Trump menjalankan perniagaan di New York.

Dalam pada itu, seorang pemantau bebas dilantik untuk memantau kes berkenaan.