WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS) Joe Biden berhasrat mengemukakan cadangan penting yang bertujuan untuk mereformasi Mahkamah Agung pada Isnin, menurut laporan Politico yang memetik dua sumber yang arif tentang perkara itu pada Jumaat.

Pelan itu dijangka merangkumi sokongan untuk menetapkan had penggal untuk hakim dan melaksanakan kod etika yang mengikat.

Beliau juga dijangka menyokong pindaan perlembagaan yang akan menyekat kekebalan bagi presiden dan pegawai tertentu lain. Ini adalah tindak balas kepada keputusan mahkamah pada 1 Julai, yang memutuskan bahawa presiden tidak boleh didakwa atas "tindakan rasmi" yang dilakukan semasa memegang jawatan, keputusan yang berkaitan dengan kes yang melibatkan bekas Presiden Donald Trump.

Biden menjadi lebih lantang dalam kritikannya terhadap Mahkamah Agung dan keputusannya. Ini termasuk keputusan oleh majoriti konservatif yang telah membatalkan hak pengguguran persekutuan yang merupakan antara keutamaan utama pentadbirannya.

Melaksanakan had penggal dan kod etika untuk Mahkamah Agung mungkin memerlukan undang-undang baharu, yang bermaksud Kongres yang berpecah pada masa ini tidak dijangka untuk menangani isu ini sebelum tahun berakhir. Dewan Perwakilan dikawal oleh Parti Republikan manakala Demokrat mempunyai majoriti tipis di Senat.

Selain itu, walaupun Demokrat menguasai kedua-dua dewan selepas pilihan raya, mereka tidak mungkin mencapai 60 kerusi Senat yang diperlukan untuk mengatasi filibuster.

-- BERNAMA