KUALA LUMPUR: Presiden Indonesia, Prabowo Subianto pada Isnin menghubungi Presiden Amerika Syarikat (AS) yang baru dipilih, Donald Trump bagi menzahirkan ucapan tahniah atas kemenangan beliau dalam Pilihan Raya Presiden.

Dalam rakaman perbualan yang dimuat naik di Instagram, Prabowo berharap dapat meningkatkan kerjasama antara kedua-dua negara ada masa akan datang.

Prabowo yang mengangkat sumpah sebagai Presiden Indonesia yang kelapan pada 19 Oktober lalu, juga menzahirkan kesediaan untuk mengadakan pertemuan dengan Trump.

"Saya bersedia terbang untuk mengucapkan tahniah kepada anda secara peribadi," ujar beliau dalam perbualan telefon itu.


Dalam masa sama, Prabowo meluahkan rasa terkejut terhadap insiden cubaan membunuh Trump ketika siri kempen pada September lalu.

Sementara itu, Trump yang menggalas jawatan tersebut untuk kali kedua berkata, beliau bersedia bertemu Prabowo pada bila-bila masa.

Beliau juga menyifatkan bahawa pilihan raya AS pada kali ini sebagai hebat dan luar biasa.

"... dan saya juga ingin ke negara anda pada suatu hari nanti. Luar biasa apa yang ada lakukan. Anda adalah orang yang sangat dihormati dan saya mengakuinya.

"Kami telah mengadakan pilihan raya yang hebat di Amerika. Luar biasa apa yang berlaku. Kami meraih kemenangan yang luar biasa ... Mereka mengatakan bahawa ini adalah paling berjaya dalam tempoh 100 tahun," kata Trump lagi.

Trump mengakhiri perbualan bersama Prabowo dengan menyampaikan salam kepada rakyat Indonesia.

Trump yang merupakan calon Republikan dilapor menang menewaskan calon Demokrat, yang juga Naib Presiden AS, Kamala Harris.

Setakat hari ini, Trump memenangi 312 undi, sekali gus melepasi majoriti 270 undi elektoral berbanding Harris yang memperoleh 226 undi.