WASHINGTON: Debaran makin hampir menjelang Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat (AS) yang bakal berlangsung dalam tempoh kurang sebulan pada 5 November depan.

Pemilihan itu yang sepatutnya menyaksikan pertemuan semula antara Presiden Joe Biden dan pendahulunya, Donald Trump tidak kesampaian apabila Biden menarik diri dan memilih Naib Presiden, Kamala Harris untuk bersaing dengan bilionair sarat kontroversi tersebut.

Persoalannya sekarang, adakah rakyat Amerika akan melantik Presiden wanita pertama atau Trump berjaya merebut semula jawatan ke Rumah Putih untuk penggal kedua.

Keputusan tinjauan kebangsaan terbaharu sejak Harris, 59, mengumumkan pencalonannya mewakili Parti Demokrat pada Julai lalu menunjukkan beliau terus mendahului Trump, 78.

Kedua-dua calon itu turut bersua muka dalam sesi debat pertama pada 10 September lalu dan berjaya meraih lebih 67 juta tontonan.

Trump bagaimanapun enggan menyertai pusingan kedua setelah diasak teruk Harris hingga menjadi bahan jenaka penyokong pihak lawannya.

Majoriti keputusan kaji selidik mendapati prestasi memberangsangkan Harris telah melonjakkan sokongan terhadap beliau iaitu 2.5 mata peratusan pada hari debat berlangsung kepada 3.3 mata peratusan kira-kira seminggu selepas itu.

Purata peratusan Trump pula meningkat sebelum debat tersebut, namun menjunam sebanyak setengah mata peratusan dalam tempoh sama ketika Harris kekal mendahuluinya.

Ketika ini, persaingan agak sengit di tujuh negeri yang menjadi 'medan pertempuran' utama berikutan kedudukan mereka hanya dibezakan dengan satu atau dua mata peratusan.

Ia termasuk di Pennsylvania yang mempunyai jumlah pengundi paling ramai, sekali gus kemenangan mudah dicapai dengan 270 undi yang diperlukan untuk diisytiharkan sebagai pemenang.

PERSAINGAN SENGIT

Sejak Harris dinamakan sebagai calon menggantikan Biden, beliau terus mengekori Trump dengan hampir lima mata peratusan secara purata di ketujuh-tujuh negeri berkenaan.

Melihat kepada trend sokongan sejak Harris menyertai perlumbaan ke Rumah Putih, beliau berada di kedudukan yang kukuh sejak kira-kira tiga bulan lalu.

Beliau kini mendahului Trump di Michigan, Pennsylvania dan Wisconsin sejak awal Ogos lalu meskipun margin agak kecil.

Ketiga-tiga negeri tersebut pernah menjadi kubu kuat Demokrat sebelum Trump menjadikan ia 'lautan merah' ketika memenangi Pilihan Raya Presiden AS 2016.

Biden bagaimanapun merampasnya semula pada 2020 dan kemampuan Harris bakal diuji jika beliau dapat mengekalkan kemenangan Demokrat pada tahun ini.

Kempen pilihan raya yang memasuki fasa akhir kini menyaksikan 'perang retorik' Harris dan Trump semakin rancak di platform media untuk memancing undi rakyat Amerika yang masih belum membuat keputusan atau berada di atas pagar. Menerusi satu wawancara terbaharu, Harris mendakwa Trump secara terbuka amat mengagumi diktator dan autoritarian.

“Beliau pernah berkata mahu jadi pemimpin diktator pada hari pertama jika dilantik semula sebagai Presiden,” katanya sambil menambah lebih 200 bekas anggota Parti Republikan termasuk beberapa bekas Presiden seperti George W Bush and George H W Bush menyokongnya.

Sementara itu, Trump tetap menggunakan bahasa lebih agresif apabila menggelar pesaingnya sebagai 'individu dengan IQ sangat rendah' selain mengutuk respons Naib Presiden tersebut terhadap mangsa Hurikan Helene walaupun ada bukti Harris sudah melawat zon terjejas bencana tersebut pada minggu lalu. - Agensi/ Sinar Harian