Jumlah tontonan pada Selasa itu lebih tinggi daripada 51.3 juta yang menyaksikan debat pada 29 Jun yang dihoskan CNN antara Trump dari parti Republikan dan Presiden semasa Joe Biden.
Biden pada ketika itu adalah calon utama Parti Demokrat sebelum beliau menarik diri bagi membolehkan Harris menggantikannya, lapor Sputnik.
Nielsen dalam satu kenyataan pada Khamis memaklumkan bahawa jumlah tontonan adalah daripada keseluruhan penonton yang menyaksikan debat menerusi 17 rangkaian yang menyiarkannya.
Selain ABC, rangkaian lain yang menyiarkan debat pada Selasa itu termasuk CNN, CNNe, CBS, FOX, NBC, Merit Street, Scripps News, Telemundo, Univision, BET, FOX News Channel, FOX Business, MSNBC, Newsmax, NewsNation, dan PBS.
Anggaran penonton termasuk tontonan di luar rumah bagi semua rangkaian yang dilaporkan kecuali Merit Street, Newsmax, NewsNation, PBS, dan Scripps News, yang tidak termasuk tontonan di luar rumah.
Debat presiden yang menarik jumlah tontonan terbesar dalam sejarah adalah pada 2016 antara Trump dan pesaingnya dari Demokrat ketika itu, bekas setiausaha negara Amerika Syarikat Hillary Clinton, dengan rekod 84 juta penonton.
-- BERNAMA