FLORIDA: Calon presiden dari Parti Republikan Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dan saingannya dari Demokrat, Kamala Harris akan berdebat pada 10 September ini di ABC, rangkaian televisyen itu mengesahkannya pada Khamis (8 Ogos).

Dalam masa sama, Trump mengumumkan hasratnya untuk menambah dua lagi sesi debat pada bulan yang sama di stesen televisyen Fox dan NBC.

Dalam sidang akhbar di kediamannya di Palm Beach, Florida, Trump berkata, beliau mahukan debat itu diadakan pada 4 dan 25 September.

Namun begitu, beliau tidak menyatakan perincian butiran sama ada akan ada penonton, dan tidak segera serta belum jelas sama ada pasukan kempennya telah mengemukakan cadangan itu kepada kem Harris.

Pasukan kempen Harris juga belum memberikan sebarang maklum balas mengenai hasrat Trump itu.

Trump sebelum ini mencadangkan beliau mungkin menarik diri daripada perdebatan anjuran ABC, yang dijadualkan sebelum Harris menggantikan Presiden AS, Joe Biden sebagai calon presiden Demokrat kurang tiga minggu lalu yang menarik diri daripada pencalonannya sebagai Presiden AS dalam pilihan raya pada November depan.

Sidang media yang diadakan itu merupakan penampilan umum pertama Trump sejak Harris mengumumkan Gabenor Minnesota, Tim Walz sebagai pasangannya pada Selasa lalu.

Harris dan Walz menjadi tajuk utama perhimpunan di negeri-negeri medan pertempuran di Pennsylvania, Michigan dan Wisconsin minggu ini, menarik berpuluh-puluh ribu hadirin sebagai tanda sokongan baharu bagaimana penyertaan saat akhir dalam pilihan raya Presiden AS itu merangsang Demokrat.

Peningkatan sokongan itu menyebabkan pasukan Trump berebut-rebut untuk mengatur semula strategi dan usaha menyampaikan mesej mereka.

Tinjauan pendapat mendapati, Harris telah meredakan kelebihan yang Trump bina ke atas Presiden Biden selain Demokrat telah mengumpul ratusan juta dolar daripada pengundi dan penderma dalam beberapa minggu sahaja.

Ditanya pada Khamis bagaimana dia telah mengubah pendekatannya terhadap cabaran baharu daripada Harris, Trump menegaskan, dia tidak akan berbuat demikian.

Dalam sesi soal jawab dengan wartawan selama sejam, Trump turut beralih dari topik ke topik dan mendakwa Harris dan Walz adalah calon lemah yang ditakdirkan untuk bertanding dalam pilihan raya.

Walaupun begitu, Trump meluahkan rasa kecewa kerana tidak berpeluang berhadapan dengan Biden dalam pilihan raya seraya mencadangkan Presiden Biden menjadi mangsa rancangan yang tidak mengikut Perlembagaan untuk memecatnya daripada Demokrat.

Biden menarik diri daripada usaha pemilihan semulanya yang merosot di bawah tekanan rakan-rakan Demokrat yang bimbang tentang peluangnya untuk meraih kemenangan dalam pilihan raya 5 November depan selepas prestasi perdebatan yang lemah semasa menentang Trump.

Trump juga mengejek jumlah kehadiran orang ramai semasa kempen Harris, walaupun jumlah berkenaan standing dalam kempen beliau sejak kebelakangan ini.

Beliau turut membuat kenyataan palsu dengan mendakwa, jumlah orang ramai yang mendengar ucapannya pada 6 Jan 2021 - hari penyokongnya menyerbu Capitol AS - sama besar jumlahnya dengan mereka yang memenuhi National Mall di Washington untuk ucapan "I Have a Dream" Dr Martin Luther King dalam 1963.

"Kami sebenarnya mempunyai lebih ramai jumlah orang (yang hadir)," kata Trump.

"Tetapi saya okey dengannya kerana saya suka Dr Martin Luther King."

Menyuarakan kritikan baru-baru ini daripada kempennya, Trump mengkritik Harris kerana tidak melakukan wawancara dengan akhbar sejak melancarkan kempennya.

"Dia (Harris) tidak boleh melakukan temu bual. Dia hampir tidak cekap," kata Trump, kemudian sekali lagi melabelkan pesaingnya itu sebagai “nakal”  iaitu ungkapan yang sering digunakannya untuk mengkritik wanita.

Trump telah mengadakan siri temu bual dengan media secara berterusan, walaupun biasanya dengan saluran dan wartawan yang mesra dan berhaluan kanan.

Pada Rabu, beliau menyertai program pagi "Fox & Friends" dan menjawab soalan daripada pengacara program.

Harris dan Walz pula mengadakan pertemuan dengan pekerja automotif di Detroit pada Khamis, selepas kesatuan United Auto Workers menyokong pencalonan mereka, sebagai sebahagian daripada usaha untuk menggerakkan pekerja kolar biru di negeri-negeri medan pertempuran utama.

Harris membatalkan acara pada Khamis di North Carolina dan pada Jumaat di Georgia berikutan taufan Tropika Debby melanda menyebabkan hujan lebat dan banjir berbahaya.

Demokrat akan menuju ke Arizona dan Nevada pada akhir minggu ini selain melawat dua lagi negeri yang mungkin memainkan peranan penting dalam pilihan raya 5 November.

Pasangan Trump, Senator JD Vance dari Ohio turut membatalkan acara kempen di North Carolina pada Khamis disebabkan oleh ribut tersebut.

Beliau telah menghabiskan beberapa hari terakhir mengikuti Harris dan Walz di seluruh negara, satu langkah luar biasa yang bertujuan untuk memberikan 'kontras,' katanya kepada wartawan pada Rabu." - Reuters