Ketibaan Fadillah, yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, di Lapangan Terbang Jorge Chàvez dengan penerbangan komersial disambut oleh Kuasa Usaha Sementara Kedutaan Besar Malaysia di Peru, Mohamed Shahiran Mohamed Shah.
Ini adalah lawatan sulung Fadillah ke Peru.
Mesyuarat itu, yang dihoskan oleh Peru selaku Pengerusi APEC 2024, adalah pertemuan peringkat tertinggi pemimpin ekonomi APEC yang bertanggungjawab terhadap pembangunan tenaga.
Timbalan Perdana Menteri itu akan mengetengahkan pendirian Malaysia dalam melaksanakan usaha peralihan tenaga negara, memastikan pembangunan tenaga yang inklusif dan saksama serta berkongsi aspirasi negara ke arah pembebasan gas rumah hijau sifar bersih menjelang 2050.
Usaha ini akan dilaksanakan menerusi Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga (NETR), Pelan Hala Tuju Ekonomi Hidrogen (HETR) dan Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030.
Fadillah juga akan mengadakan pertemuan dua hala dan pelbagai hala dengan rakan sejawat dari negara anggota APEC serta pemain industri antarabangsa untuk meluaskan jaringan kerjasama pelbagai bidang tenaga khususnya yang berpotensi menyokong komitmen dan inisiatif peralihan tenaga negara.
Kenyataan yang dikeluarkan oleh Sekretariat APEC baru-baru ini memaklumkan bahawa para pegawai kanan, menteri dan pakar dari 21 negara anggota APEC akan berhimpun di Peru dari 12 hingga 25 Ogos 2024 bagi membincangkan dasar keterjaminan makanan, kelestarian tenaga, penambahbaikan kesihatan awam, pertumbuhan ekonomi dan daya tahan.
Ia merangkumi Mesyuarat Menteri Tenaga ke-14 dari 15 hingga 16 Ogos; Mesyuarat Peringkat Tinggi mengenai Kesihatan dan Ekonomi ke-14 pada 18 Ogos di Lima serta Mesyuarat Menteri Keterjaminan Makanan APEC pada 19 Ogos di Trujillo. - BERNAMA