Dalam satu hantaran di X, Ahmad Zahid memberitahu pemergian Ismail tidak akan memudarkan semangat perjuangan Islam malah ia akan membangkitkan lagi gelora perjuangan generasi penerus demi kebebasan rakyat Palestin.
"Kehilangan besar buat dunia Islam, namun, semangat beliau berjuang tidak akan pudar dan kehilangan ini pastinya membangkitkan gelora perjuangan generasi penerus agar keadilan dan kebebasan dapat dicapai oleh rakyat Palestin," katanya.
Tambah Zahid, tiada ungkapan kata dapat menggambarkan kesedihannya apabila mendengar berita pemergian sahabatnya yang juga seorang pemimpin dan pejuang Islam.
"Tiada kata yang dapat menggambarkan kesedihan hati saya hari ini apabila menerima perkhabaran perginya seorang sahabat, pemimpin dan pejuang Ismail Hamiyeh, Ketua Hamas dan pengawal peribadinya yang gugur syahid dalam serangan di Tehran, Iran.
"Setiap kali beliau hadir ke sini, mesti kami berjumpa dan berkongsi kisah suka duka perjuangan membebaskan Palestin. Susuk tubuh inilah yang banyak memberikan nasihat dan semangat untuk saya terus membantu dan menyumbang di saat kalah ataupun menang," katanya.
Dalam masa sama, Ahmad Zahid turut berdoa agar roh Ismail ditempatkan dalam kalangan para syuhada dan beroleh syurga.
Sementara itu, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, terkesan dengan pemergian Ismail.
"Dengan hati yang amat sedih dan pilu, saya mendapat perkhabaran berita pembunuhan Ismail Haniyeh. Pemergian beliau merupakan satu kehilangan besar buat kita semua, khususnya umat Islam yang cintakan perjuangan pembebasan Palestin.
"Saya amat terkesan dengan pemergian beliau kerana pernah menerima sepucuk surat takziah daripadanya atas pemergian anak saya, Hammad. Kesannya amat mendalam kepada saya sehingga hari ini," katanya.