Sementara itu Hamas membebaskan tiga tebusan Israel, Iair Horn, Sagui Dekel Chen dan Sasha (Alexander) Troufanov di Gaza.
Rakaman langsung menunjukkan ketiga-tiga warga Israel itu dibawa ke pentas di Khan Younis dengan pejuang Hamas di kedua-dua sisi sebelum mereka dibawa pulang ke Israel oleh pasukan keselamatan Israel.
Tidak lama kemudian, bas yang membawa tahanan Palestin yang dibebaskan berlepas dari Penjara Ofer di Tebing Barat yang diduduki Israel.
Bas pertama tiba di Ramallah disambut sorakan orang ramai yang mengibarkan bendera Palestin.
Sebilangan tahanan Palestin yang dibebaskan adalah mereka yang menjalani hukuman panjang dan ada juga yang dipenjarakan kerana membunuh tentera Israel di Tebing Barat.
Sebahagian tahanan yang dibebaskan dibenarkan pulang ke rumah, manakala yang lain dijangka dihantar ke Mesir.
Gencatan senjata ini memasuki fasa kedua yang bertujuan untuk membuka rundingan bagi membebaskan baki tebusan yang masih hidup daripada 251 orang yang ditahan sejak 7 Oktober 2023.
Selain itu ia bagi menarik keluar tentera Israel sepenuhnya sebelum rundingan penamatan perang dan pembinaan semula Gaza.
Di dataran tebusan di Tel Aviv, orang ramai bersorak dan menangis kegembiraan sebaik mendapat berita bahawa Palang Merah sedang dalam perjalanan membawa tiga tebusan itu kepada pasukan tentera Israel.
Sementara itu, prospek kelangsungan gencatan senjata semakin goyah berikutan cadangan Presiden Amerika Syarikat (AS) DonaldTrump agar rakyat Palestin dipindahkan keluar dari Gaza secara kekal serta menjadikan Gaza sebagai pusat pelancongan di bawah pentadbiran AS.
Cadangan ini ditolak mentah-mentah oleh kumpulan Palestin, negara Arab dan sekutu barat Washington.
