Polis Pulau Pinang menahan seorang lagi tahanan iaitu Mohamad Khairulnizam Abdul Rani, 26, dalam sebuah kafe internet di Berapit, Bukit Mertajam di sini, awal Ahad.

Ketua Polis Negeri Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata kejayaan itu adalah hasil maklumat awam sebelum polis menyerbu kafe internet berkenaan pada 1.15 pagi.

"Dia berada dalam kafe itu bagi mengelak dikesan polis, tetapi usahanya gagal kerana kita telah mendapat maklumat tentang dia dan berjaya menahannya," katanya kepada pemberita di sini.

Sebelum itu, tahanan itu yang dikenal pasti sebagai Mohamad Khairulnizam dipercayai menjadikan seorang remaja 19 tahun sebagai tebusan dalam kejadian pukul 11 malam tadi di Bukit Mertajam dan membawanya ke kawasan hutan di belakang Sekolah Kebangsaan Indera Muda.

Abdul Rahim berkata remaja itu ditinggalkan tahanan berkenaan di kawasan Berapit dalam keadaan selamat.