NEW YORK: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengisytiharkan mpox atau sebelum ini dikenali sebagai cacar monyet sebagai kecemasan kesihatan awam global buat kali kedua dalam tempoh dua tahun.

Pengisytiharan itu dilakukan berikutan wabak jangkitan virus di Republik Demokratik Congo yang telah merebak ke negara jiran.

Mpox merupakan penyakit virus yang boleh merebak melalui hubungan rapat.

Kebiasaannya ringan, namun, ia boleh membawa maut dalam kes yang jarang berlaku.

Ia merebak melalui sentuhan fizal dengan individu atau haiwan yang dijangkiti menyebabkan simptom seperti selesema dan ruam melepuh.

Menentukan wabak penyakit sebagai "kecemasan kesihatan awam kebimbangan antarabangsa" atau PHEIC - tahap kewaspadaan tertinggi WHO - boleh mempercepatkan penyelidikan, pembiayaan dan langkah dan kerjasama kesihatan awam antarabangsa untuk membendung penyakit itu.

Wabak di Congo bermula dengan penyebaran strain endemik, yang dikenali sebagai clade I.

Bagaimanapun, varian baharu, clade Ib, kelihatan lebih mudah merebak melalui hubungan rapat rutin, termasuk hubungan seksual.

Ia telah merebak dari Congo ke negara jiran, termasuk Burundi, Kenya, Rwanda dan Uganda, sekali gus mencetuskan tindakan daripada WHO.

"Adalah jelas bahawa tindak balas antarabangsa yang diselaraskan adalah penting untuk menghentikan wabak ini dan menyelamatkan nyawa," kata Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus.

Awal minggu ini, badan kesihatan awam tertinggi Afrika mengisytiharkan kecemasan mpox untuk benua itu selepas memberi amaran bahawa jangkitan virus itu merebak pada kadar yang membimbangkan.

Lebih 17,000 kes disyaki mpox dan 517 kematian telah dilaporkan di benua Afrika setakat tahun ini, peningkatan 160 peratus dalam kes berbanding tempoh yang sama tahun lepas, kata Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Afrika. Sebanyak 13 negara telah melaporkan kes.

Bentuk virus mpox yang berbeza - clade IIb - merebak secara global pada tahun 2022, sebahagian besarnya melalui hubungan seksual dalam kalangan lelaki yang melakukan hubungan seks dengan lelaki.

Ini mendorong WHO untuk mengisytiharkan kecemasan kesihatan awam ketika itu, yang berakhir 10 bulan kemudian. - Agensi