LONDON: Britain telah mengesan kes pertama varian baharu mpox, clade Ib, menurut Agensi Keselamatan Kesihatan UK (UKHSA), dengan menyatakan bahawa risiko kepada populasi umum kekal rendah.

Varian clade Ib adalah jenis baharu virus mpox yang diisytiharkan sebagai kecemasan kesihatan global oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada Ogos lalu selepas wabak di Republik Demokratik Congo merebak ke negara-negara jiran di Afrika.

Kes tersebut melibatkan seorang pesakit yang baru-baru ini mengunjungi negara-negara terjejas di Afrika dan kini telah dipindahkan ke hospital pakar di London, menurut UKHSA.

Pihak UKHSA dan organisasi kerjasamanya kini memantau kontak rapat pesakit untuk mengawal penyebaran varian tersebut.

Kes-kes varian mpox clade Ib telah dilaporkan di Burundi, Rwanda, Uganda, Kenya, Sweden, India dan Jerman selain Congo.

Varian ini berbeza daripada clade II yang merebak pada tahun 2022, terutamanya dalam kalangan lelaki yang mengadakan hubungan sesama jenis.

Mpox adalah jangkitan virus yang biasanya menyebabkan simptom seperti selesema dan luka bernanah dan walaupun kebiasaannya ringan, ia boleh membawa maut.

Clade Ib dipercayai menyebabkan penyakit yang lebih teruk berbanding clade II.

Kedua-dua varian boleh disebarkan melalui kontak fizikal rapat, termasuk melalui kontak seksual.

Pihak berkuasa UK menyatakan bahawa mereka tidak akan memberikan maklumat lanjut mengenai pesakit tersebut, namun kontak rapat pesakit akan dipantau serta ditawarkan ujian, vaksinasi dan rawatan lanjut jika mereka positif atau menunjukkan simptom.

Menurut angka terbaru WHO, terdapat lebih daripada 44,000 kes mpox yang disahkan dan disyaki di Afrika pada tahun ini, dengan lebih 1,000 kematian, terutamanya di Congo.