"Penyiasatan terhadap kes ini telah dimulakan apabila kami secara rasmi mendaftarkan aduan berhubung perkara ini," kata Ataur Rahman, seorang pegawai kanan di Tribunal Jenayah Antarabangsa (ICT) kepada media tempatan.
ICT adalah mahkamah di Bangladesh yang dikhususkan untuk pendakwaan kes genosid dan jenayah terhadap kemanusiaan.
Setelah penyiasatan selesai, ICT akan menyerahkan penemuannya kepada pendakwa raya untuk menentukan langkah undang-undang seterusnya.
Gazi Tanim, seorang peguam Mahkamah Agung memfailkan aduan itu kepada ICT bagi pihak seorang bapa kepada pelajar darjah sembilan yang terbunuh akibat tembakan polis semasa protes pada 5 Ogos di pinggir Dhaka.
Empat anggota kanan Kabinet Hasina, bekas Ketua Polis Negara dan tiga pegawai polis lain juga dinamakan dalam kes terbabit.
Pempetisyen mendakwa bahawa tertuduh telah mengarahkan, merancang, dan melaksanakan genosid serta jenayah terhadap kemanusiaan dengan membunuh penunjuk perasaan awam anti-kerajaan yang tidak bersenjata.
Lebih 500 orang dilaporkan terbunuh semasa protes selama sebulan yang menuntut penamatan sistem kuota pekerjaan kerajaan yang didakwa mempunyai unsur diskriminasi dan akhirnya bertukar menjadi kebangkitan besar-besaran terhadap Kerajaan Hasina. - BERNAMA