Young Tigers memulakan saingan dengan langkah kanan apabila Muhammad Danish Danial Abdul mencipta jaringan menerusi gol padang pada minit kedua dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Hoki Oman, di Muscat.
Bagaimanapun, Bangladesh berjaya mendahului menerusi jaringan hasil pukulan sudut penalti oleh Amirul Islam (27') dan gol padang oleh Md Hasan (36').
Muhammad Khairul Norizam kemudian berjaya menyudahkan pukulan sudut penalti pada minit ke-40 untuk membantu skuad Young Tiger mengikat kedudukan.
Keputusan seri menentang Pakistan dalam perlawanan terakhir peringkat kumpulan hari ini akan memastikan Young Tigers mara separuh akhir, tanpa mengira apa juga keputusan perlawanan antara Bangladesh dan China.
Pasukan kendalian I. Vikneswaran itu yang menewaskan China 5-2 dan Oman 9-1, kini menduduki tempat teratas dalam kumpulan dengan tujuh mata, diikuti Pakistan enam mata selepas dua perlawanan, Bangladesh (4 mata), China (3) dan Oman. Pakistan dijadual berdepan Oman malam tadi.
Dua pasukan teratas dalam kumpulan akan mara ke separuh akhir manakala enam pasukan terbaik dalam kejohanan ini akan layak ke Piala Dunia Remaja.
Pencapaian terbaik Malaysia dalam Piala Remaja Asia adalah bergelar juara pada edisi 2012 yang berlangsung di Melaka manakala pada edisi terakhir di Salalah Oman, Young Tigers menduduki tempat keempat.
-- BERNAMA