NEW DELHI: Kerajaan Bangladesh memberi amaran terhadap tindakan vandalisme selepas sekumpulan penunjuk perasaan yang marah dengan ucapan bekas Perdana Menteri Sheikh Hasina, merobohkan kediaman bapanya, Sheikh Mujibur Rahman.

"Kerajaan sementara komited untuk memastikan keselamatan rakyat dan harta benda mereka," menurut kenyataan yang disiarkan pada Khamis malam di laman Facebook Ketua Penasihat Muhammad Yunus.

Kenyataan itu turut memberi amaran terhadap sebarang tindakan provokatif yang boleh mencetuskan kekacauan di negara itu serta menegaskan bahawa mereka yang bertanggungjawab akan dikenakan tindakan.

Rumah di Dhanmondi-32, Dhaka, yang dikaitkan dengan Sheikh Mujibur Rahman dan keluarganya, dirobohkan oleh ribuan penunjuk perasaan sebagai tindak balas terhadap ucapan Hasina yang disiarkan di media sosial lewat Rabu malam.

Hasina, 77, kini menetap di New Delhi selepas melarikan diri dari Bangladesh pada 5 Ogos susulan protes besar-besaran terhadap pemerintahannya selama 15 tahun.

Sementara itu, pada Rabu dan Khamis, penunjuk perasaan di beberapa lokasi turut menyasarkan beberapa bangunan dan aset yang dikaitkan dengan pentadbiran Hasina serta pemimpin parti Liga Awami.

Di Kishoreganj, sekumpulan orang membakar kediaman bekas Presiden Abdul Hamid, menurut laporan media tempatan.

Di Universiti Rajshahi, para pelajar merosakkan papan nama empat dewan kediaman yang mereka anggap sebagai "simbol fasisme" sebelum menamakannya semula.

Beberapa mural Sheikh Mujibur Rahman turut menjadi sasaran vandalisme di beberapa lokasi lain.

-- BERNAMA