DALAM tempoh sebulan ini, politik Thailand bukan sahaja warna-warni dan penuh debar tetapi juga membuka semula sejarah negara gajah putih itu yang tidak pernah sunyi daripada kontroversi dan rencam dengan masalah.

Bermula dengan pengumuman 24 Mac 2019 ditetapkan sebagai tarikh pilihan raya umum pasca rampasan kuasa 2014 oleh Suruhanjaya Pilihan Raya Thailand, diikuti kesediaan julung kali puteri diraja, Puteri Ubolratana Rajakanya Sirivadhana Barnavadi mahu turut sama merebut jawatan Perdana Menteri Thailand sehingga kepada pembatalan pencalonannya, kesemua ini, mengejutkan pelbagai pihak.

Kita sebagai negara jiran paling dekat turut sama teruja mengikuti rentak iramanya yang menunggu satu detik pilihan raya - pertama diadakan selepas rampasan kuasa menyingkirkan Yingluck Shinawatra, adik Thaksin Shinawatra, kedua-duanya pernah memegang jawatan Perdana Menteri Thailand.

Kerana ruangan ini adalah ulasan buku, saya ingin membawa semula kepada peristiwa sejarah yang menjadikan Thailand itu seperti coraknya hari ini.

Buku yang mahu diulas, '"Good Coup" Gone Bad: Thailand's Political Developments since Thaksin's Downfall' disunting Pavin Chachavalpongpun dan diterbitkan pada 2014, beberapa bulan selepas kuasa rakyat menggulingkan keluarga Shinawatra, yang kaya raya hasil perniagaan telekomunikasi domestik dan global.

Baik Thaksin mahupun adiknya, kedua-duanya kini hidup dalam buangan di sebuah negara di Asia Barat.

Walaupun hidup dalam buangan, Thaksin dan Yingluck masih ada pengaruh dan mempengaruhi. Kerana apa? Ada wang yang banyak. Wang ini juga yang memberi corak kepada beberapa perkembangan yang berlaku di Thailand sejak sebulan lepas.

'"Good Coup" Gone Bad: Thailand's Political Developments since Thaksin's Downfall' tidak diharamkan sebagaimana beberapa naskhah lain di Thailand. Ini kerana, walaupun buku ini sebahagiannya mengkritik keluarga diraja, beberapa artikel lain di dalamnya turut memuji tentera dan kudeta demi menyelamatkan Thailand.

Antara buku yang diharamkan di Thailand kerana ada menyebut secara langsung tentang keluarga diraja termasuk “Anna and the King of Siam” tulisan Margaret Landon; “The King Never Smile oleh Paul Handley; “The Devil’s Discus, Rayne Kruger; “A Kingdom in Crisis: Thailand’s Struggle for Democracy in the Twenty-First Century” karya Andrew MacGregor Marshall dan “The Revolutionary King” naskhah oleh William Stevenson.

Namun bukan buku-buku berkenaan mahu diulas di platform ini, sebaliknya bagaimana sejarah tentera, keluarga diraja, bekas pemimpin kaya raya saling ada kaitan dalam memberi warna kepada Thailand hari ini.

Dalam mengulas "Good Coup" Gone Bad: Thailand's Political Developments since Thaksin's Downfall" saya ingin membawa apa yang berlaku di Thailand pada hari ini, kembali kepada sejarah kebangkitan Asia Tenggara dan peranan tentera dalam landskap politik negara gajah putih itu.

Jangan dilupakan, '"Good Coup" Gone Bad: Thailand's Political Developments since Thaksin's Downfall' juga membincangkan isu sama – Thaksin, rampasan kuasa, perkaitan dengan tentera dan keluarga diraja, elemen-elemen yang masih relevan dibincangkan dalam konteks politik negara itu menjelang pilihan raya pada 24 Mac ini.

Saya masih ingat dengan jelas mempelajari kursus “The Golden Age of Southeast Asian History, 3rd – 15 Century” dan kemudiannya dipanjangkan kepada kursus Religion, Culture and Society in Southeast Asia History, di mana salah sebuah negara dikaji ialah Thailand.

Di Thailand, sejak dahulu dan kini, tentera memainkan peranan yang cukup signifikan dalam politik negara itu. Hal ini dapat difahami pada masa sekarang apabila tentera masuk untuk mengubah rentak dan hala tuju politik Thailand semasa kudeta 2014. Namun, jangan juga dilupakan, Thailand sudah beberapa kali menyaksikan rampasan kuasa tentera sejak ia wujud sebagai sebuah negara bebas demokrasi.

Peranan tentera di Thailand tentunya untuk tujuan menjaga keselamatan. Itu tugas hakiki tentera, waima di negara lain sekali pun. Namun dalam menentukan politiknya terus ada rentak yang tidak silap atau sumbang, tentera di Thailand hanya akan bertindak berasaskan tiga perkara asas.

Tiga perkara asas yang mengundang campur tangan tentera itu kata pensyarah saya, Profesor Datuk Dr Danny Wong Tze Ken ialah apabila apa sahaja soal raja Thai disentuh; ketika ada masalah ekonomi dan semasa ada kaitan dengan soal keselamatan.

“Peristiwa yang membawa kepada penggulingan Thaksin, bukan sangat kerana rasuah, tetapi lebih menjurus kepada tindakan bekas Perdana Menteri itu yang dilihat tidak begitu menghormati sistem Raja Berperlembagaan. Malah ekonomi di Thailand tidak menyebelahinya ketika itu. Lebih buruk, pelbagai peristiwa berlaku di selatan Thailand seperti pembunuhan beramai-ramai di Tak Bai dan serangan di Masjid Krue Se yang menjejaskan soal keselamatan berlaku semasa era Thaksin. Begitu juga semasa era Yingluck, hal yang sama berlaku. Nah, kemarahan rakyat ini diambil dengan mudah untuk tentera berperanan, lalu berlaku protes kuasa rakyat,’’ kata beliau seperti dipetik sebagai berkata dalam kelas bagi kursus “Religion, Culture and Society in Southeast Asian History”.

Kecuali Abhisit Vejjajiva, bekas pemimpin pembangkang Parti Demokrat, yang ditukar menerusi pilihan raya, nasib beberapa Perdana Menteri Thailand sebelum ini dihitung menerusi percaturan tentera dan peranannya dalam politik di negara itu. Parti Abhisit tewas dalam pilihan raya yang diadakan pada 2011. Parti Phuea Thai menang dengan majoriti besar di mana keluarga Shinawat yang kaya raya disokong kuat penduduk luar bandar dan bandar tetapi dibenci golongan elit dan pertengahan. Maka itu menyebabkan, parti pimpinan adiknya, Yingluck menang pilihan raya.

Beberapa Perdana Menteri sebelum ini, bermula 1996 hingga 2011, iaitu semasa gelombang politik Thailand bergelora, reda, tenang dan deras semula dari Jeneral Chavalit Yongchaiyudh (1996-1997) hingga Abhisit (2008-2011), semuanya hampir ada kaitan dengan peranan tentera. Sepanjang tempoh masa itu, sembilan Perdana Menteri, lima daripadanya berlatar belakang tentera, kalau tidak pun, disokong tentera dari belakang.

Samak Sundararavej yang dilantik pada 28 Januari 2008 misalnya, walaupun seorang tukang masak, turut dijatuhkan walaupun sebelum itu mendapat sokongan tentera. Samak hanya bertahan kurang setahun sebelum digantikan Somchai Wongsawat. Disebabkan masalah selatan Thai yang ada hubung kait soal keselamatan, Samak berundur manakala Somchai pula letak kuasa kerana soal rasuah berkaitan isu ekonomi.

Yingluck, sebelum detik-detik protes memintanya berundur, ada bertindak mahu meluluskan Rang Undang-Undang Pengampunan yang membuka jalan abangnya Thaksin pulang ke Thailand tanpa perlu menjalani hukuman, mengundang rasa marah pembangkang, Yingluck juga ada pendakwaan rasuah, subsidi beras dan ada kaitan dengan ekonomi Thailand.

Suthep Thaungsuban, yang juga bekas Timbalan Perdana Menteri ketika itu menggunakan hal undang-undang untuk tangani soal keselamatan. Jangan dilupakan, apabila soal keselamatan digugat, sudah pasti tentera bakal ambil tempat, kerana keselamatan adalah antara tiga soal asas di mana tentera akan berperanan signifikan dalam politik Thailand. Yingluck jatuh, Thaksin tidak dapat pengampunan untuk pulang ke Thailand.

Kini, sebaik tarikh pilihan raya diumumkan, Thaksin bertindak lagi, memberi “pesan” daripada negara Teluk untuk mencuba untung batu tenggelam, untung sabut, timbul. Pertaruhannya, puteri raja dan parti yang condong beri sokongan kepadanya, Parti Thai Raksa Chart.

Di atas kertas, dengan kedudukan 250 kerusi parlimen _ kesemuanya dilantik, senator sudah pasti memilih Prayut Cha-o-Cha untuk kekal sebagai Perdana Menteri selepas pilihan raya diadakan. Namun jika puteri raja bertanding, dalam keadaan masyarakat Thailand yang tahap obsesnya luar biasa kepada raja, sudah pasti Ubolratana jadi pilihan.

Namun, tentera tidak berdiam diri, tetapi dapat membacanya lebih awal. Percaturannya, tentera juga mahu berkuasa dan Prayut masih mahu memegang jawatan Perdana Menteri untuk beberapa tempoh lagi. Kerana itu berlaku arahan membubarkan Parti Thai Raksa Chart di mahkamah. Pada lapis lain, ia juga akan menghalang Thaksin pulang ke Thailand.

Perhitungan nasib beberapa pemimpin sebelum ini, dicatur tentera yang amat berkuasa di Thailand. Untung nasib pilihan raya nanti sudah pasti dalam kiraan tentera juga. Tentera sudah pasti mahu dendangan yang berbeza, jika alunan dinikmati sekarang dirasakan tidak lagi enak di telinga mereka.

Itulah juga lapisan lain dalam kupasan dalam buku "Good Coup" Gone Bad: Thailand's Political Developments since Thaksin's Downfall" setebal 283 halaman ini.

Saya ingin bersetuju dengan Jonanthan Head, Koresponden BBC di Thailand yang saya temui semasa Asia Media Digital Conference di Bangkok dua bulan lepas dan kemudiannya jadi teman di platform media social, bahawa semua perkembangan ini _ pengumuman tarikh pilihan raya, puteri umum mahu bertanding melalui proksi Thailand, istana diraja menolak cubaan puteri raja sehingga kepada ketegasan Prayut mahu mempertahankan jawatan Perdana Menteri yang disandang ,_adalah satu permainan politik atas nama kuasa. Titik.

Atas sebab itu, radar perhatian pilihan raya 24 Mac ini barangkali lebih tinggi tahapnya untuk disoroti.



* Dr Azlinariah Abdullah merupakan Editor Astro AWANI

** Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.