Semasa panggilan selama 25 minit itu pada Rabu iaitu sehari selepas pilihan raya, Trump memberitahu Zelenskyy, beliau akan menyokong Ukraine namun tidak memberikan perincian bentuk sokongan.
Dalam masa sama, Musk mencelah dan memberi jaminan akan terus membekalkan satelit Starlink, lapor Axios, memetik sumber yang tidak dinamakan.
Musk memiliki SpaceX iaitu firma yang menyediakan perkhidmatan komunikasi satelit Starlink yang penting untuk usaha pertahanan Ukraine, tetapi kenyataannya kadangkala menimbulkan kemarahan Kyiv sejak Rusia menyerang negara jirannya itu pada 2022.
Zelenskyy sedang memberitahu Trump betapa pentingnya satelit-satelit tersebut untuk perkhidmatan internet semasa perang apabila Trump memberitahu bahawa Musk ada bersamanya dan menyambungkan bilionair itu ke talian, lapor Washington Post.
Trump dan Musk berada di Mar-a-Lago, kediaman dan kelab Trump di Palm Beach, ketika panggilan itu dibuat, menurut New York Times.
Musk menghulurkan jutaan dolar untuk menyokong kempen Presiden Trump dan membuat penampilan awam bersama beliau.
Trump juga sebelum ini menawarkan Musk yang juga individu terkaya di dunia, peranan dalam pentadbirannya untuk mempromosikan kecekapan kerajaan.
Musk tidak segera memberi maklum balas terhadap permintaan untuk mengulas perkembangan terbaharu
itu.
Pasukan kempen pilihan raya Trump juga tidak mengulas mengenai pertemuan peribadi.
Zelenskyy merupakan antara pemimpin pertama yang mengucapkan tahniah kepada Trump, yang kritikal terhadap sokongan ketenteraan dan kewangan AS untuk Ukraine dalam perang dengan Rusia.
Dalam hantaran di aplikasi X pada Rabu, Zelenskyy berkata, perbualannya dengan Trump harus diteruskan.
“Kami bersetuju untuk mengekalkan dialog yang rapat dan memajukan kerjasama kami. Kepimpinan AS yang kuat dan teguh adalah penting untuk dunia dan bagi keamanan yang adil,” kata Presiden Ukraine itu lagi. - Agensi