DAVOS: Beberapa syarikat multinasional menunjukkan minat untuk melabur serta meneruskan pelaburan sedia ada ke Malaysia.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, hasrat itu dinyatakan oleh peneraju MNC dalam beberapa siri mesyuarat perniagaan di luar Forum Ekonomi Dunia (WEF) 2025.

Ujar beliau, ia termasuk hasrat syarikat pelombongan logam Australia, Fortescue untuk melabur dalam sektor automotif hidrogen hijau di Bintulu, Sarawak.

"Kerajaan Sarawak juga secara prinsip bersetuju dengan hasrat itu.

"Selain langkah-langkah yang telah dilaksanakan sekarang, saya juga telah memberi jaminan beberapa insentif dan sokongan akan diberi supaya menjadikan Bintulu sebagai hab kepada sektor tersebut,"  katanya pada sidang media bersama wakil media Malaysia mengakhiri lawatan kerja ke Davos sempena WEF 2025.

Mengulas lanjut, beliau berkata kolaborasi bersama syarikat pelabuhan Dubai, DP World juga berpotensi menjadikan Sepangar, Sabah sebagai antara pelabuhan besar di rantau ini.

Sementara Google pula ujar beliau akan terus melaksana program bersakala besar dengan memberi manfaat kepada pemusatan data khusus di Johor, Pulau Pinang dan Perak.