MEMAHAMI kehidupan jalanan dan dunia lorong di pinggir Kuala Lumpur bukan mudah.

Ia bukan fiksyen "arm chair".

Dunia jalanan bukan sekadar berimaginasi kreatif.

Atau melongo dan mereka cipta momen dan magis yang aneh mengenai sudut kehidupan yang samar dan gelap ini.

Atau, dengan sengaja merekakasa senario yang dipenuhi dosa dan serba liar secara mengada-ada.

Menonton telefilem Pencipta Pegang Waktu (PPW) pada Jumaat, 31 Julai jam 10 malam terasa sentuhannya. Malah, melahirkan rasa kagum.

Menonton telefilem Pencipta Pegang Waktu (PPW) pada Jumaat, 31 Julai jam 10 malam terasa sentuhannya. Malah, melahirkan rasa kagum.

Ini antara telefilem yang berjaya menyalin dunia jalanan dan lorong hidup di Kuala Lumpur menjadi subjek dan naratif yang real sebagai karya telefilem.

Bagi yang selalu berpeleseran di antara lorong gelap Chow Kit hingga ke dunia hanyir di Belakang Mati atau sudut terpencil di Medan Tuanku - kita akan menemukan watak-watak real di balik PPW ini.

PPW berjaya menyalin secara kreatif dengan mengangkat subjek pondan, bekas pelacur dan anak gelandangan sebagai cermin naratif bagi membina idea "keindahan takdir".

Watak Zaman "si pemeras" dalam telefilem ini juga bukan fiksyen aneh dan direka-reka.

Zaman memang satu watak real yang silih berganti wujud di dunia jalanan dan lorong sejak dekad 70-an.

Watak Zaman

Zaman "samseng" pengutip wang perlindungan memang legasi sejak lima dekad lalu dalam dunia jalanan di Kuala Lumpur.

Satu sifat oportunis cara "samseng" dan bukan rahsia pun, watak Zaman telah dan sedang kekal ada.

Zaman mengisi senario dunia real di persekitaran pasar basah; bertindak memeras peniaga jalanan dan penjaja kecil.

Status Zaman memang satu konsep atau tradisi yang terbentuk dan hierarki samseng Melayu di jalanan.

Tiap lubuk perniagaan pasti ada "tangan jahat" yang memulas rezeki peniaga. Cuma, pada era ini - cara pemerasan diubah dengan konsep hierarki yang lebih halus dan licik.

PPW drama yang bagus kerana penyalinan naratifnya sangat berasas dan menyentuhnya kewujudan "pemeras".

Cuma, tidak diliarkan dengan senjata dan darah yang selama ini direka-reka hingga memualkan kita semua.

Telefilem ini menyalin secara seadanya dan didramakan dengan estetik.

PPW menjadi sebuah drama yang berusaha menyalin tema jalanan bagi tujuan moral tanpa mewarnakan manusianya dengan corak hitam putih yang klise.

PPW berjajar dalam latar sosial yang peta kewujudannya cuba dilupakan senario TV selama ini.

Kalau pun ada - ceritanya dimanipulasi idea kreatif yang jengkel dan menyengalkan kita.

Manusia jalanan diliarkan hingga hilang logiknya kecuali mensensasikan demi mencapai libido drama.

Drama Melayu selalu digamatkan dengan kisah berjela-jela dengan naratif orang Melayu sebagai bangsa yang "kebuluran cinta" dan kemaruk hidup dengan "kebanjiran nista" berebutkan harta.

Ramai penerbit percaya - orang Melayu dalam drama hanya boleh dicelikkan oleh watak-watak yang gila bercinta.

Atau, cuba menitiskan air mata penonton dengan melahirkan watak mangsa kepada kejahatan Melayu lainnya.

Libido Melayu seperti hanya wujud pada krisis perebutan kuasa atau harta. Atau, sengketa tanpa batas dan dipenuhi dengan kejahatan menyamai syaitan yang dilahirkan sebagai manusia.

Ini tafsiran drama Melayu yang melambak di siaran TV selama ini.

Melalui PPW, pengarahnya Zainorhisyam Samudin dan penulis skrip Siti Jasmina Ibrahim mengubah landskap drama Melayu yang sangat klise dan bebal.

Citra drama TV melalui PPW bukan momokan cinta dan harta semata-mata. Tetapi Siti Jasmina menyalin cerita dengan subjek dan idea yang real.

Manakala Zainorhisyam memaparkannya secara berseni dan berusaha untuk bersikap real mengenai dunia sebenar manusia di jalanan.


Uniknya PPW sebagai drama Melayu

Kombinasi Zainorhisyam dan Siti Jasmina di belakang tabir sangat mengena dalam membina sebuah kisah jalanan yang realistik.

PPW mengubah senario penceritaan drama Melayu. Dunia jenayah jalanan bukan lagi kisah pistol dan parang yang "mendramakan" keganasan yang tidak masuk akal.

PPW sebenarnya berteraskan kisah kemanusiaan. Gandingan lima Pelakon Terbaik Anugerah Skrin menguatkan lagi pesona telefilem ini.

Selain Khir Rahman (Zaman), Que Haidar (Zee), Datuk Fauziah Ahmad Daud (Mama Sha), Puteri Balqis (Balwis) dan Jalil Hamid (Ayah) tampil memberikan warna luar biasa dalam mengangkat skrip Siti Jasmina ke real drama.

PPW sebenarnya berteraskan kisah kemanusiaan. Gandingan lima Pelakon Terbaik Anugerah Skrin menguatkan lagi pesona telefilem ini.

Manakala sentuhan Zainorhisyam menggabung aset lakonan dengan visual yang indah menjadikan drama ini luar biasa.

Dunia "malas" babak "indoor" tidak lagi menjadi resepi tipikal.

Latar jalanan diangkat sebaik mungkin dalam visual PPW dan lakonan realistik watak-watak utama membuktikan "keyakinan" pengarahnya untuk tidak bergantung pada karektor artifisial.

Telemovie khas Aidil Adha ini bertemakan sifat berkorban yang ditafsirkan dalam diri seorang pemuda dihukum kerana perawakannya yang ‘lembut’.

Paradoks Zee ialah dalam watak lembutnya seperti pondan tersimpan sifat dan amalan yang penuh kejujuran.

Siti Jasmina menggabungkan jiwa pondan Zee dengan watak ganas Mama Sha bekas pelacur.

Dua watak gelap ini menjadi indeks penggerak untuk penonton melihat warna putih dibalik tirai hitam.

Kejahatan Zaman pula tidak totok walaupun seorang "pemeras" peniaga kecil. Zaman masih manusia lelaki yang mempunyai realiti kehidupan sendiri.

Zaman kehilangan cinta akibat krisis rumah tangga apabila isterinya lari dan dia menjadi ayah yang kehilangan anaknya sendiri.

Balqis pula subjek bagi kita melihat nasib dan dunia tidak bersuluh mengenai nasib puluhan anak jalanan yang bergelumang di sekitar Chow Kit dan Belakang Mati.

Kombinasi Zainorhisyam dan Siti Jasmina di belakang tabir sangat mengena dalam membina sebuah kisah jalanan yang realistik.

Anak-anak miskin yang dimangsakan oleh kesenjangan hidup.

PPW tidak obses pada skematik plot yang didaktik. Telefilem ini memilih permainan matang antara idea, ideologi dan fungsi drama sebagai wacana seni yang kreatif.


PPW dan sebuah karya seni yang real

Drama ini bermula dengan babak Zaman mencela adiknya Zee. Agak klise tetapi real kerana orang Melayu memang penuh stigma pada lelaki berwatak pondan.

Hampir 90 peratus pondan yang terhalau dan berada di jalanan dan menjadi tua dan mati terbiar di lorong dan jalanan adalah mangsa pemulauan keluarga.

Ini realiti yang boleh anda temui di SEED Foundation, NGO yang dikendalikan aktivitis Nisha Ayub.

Di pusat perlindungan khas (SEED Foundation beroperasi di Jalan Tiong Nam berdekatan Chow Kit) yang dijadikan tempat persinggahan pondan tua yang hilang tempat bergantung - sejarah mereka bermula seperti nasib Zee dalam PPW.

Malu kerana dicela abangnya sebagai memalukan keluarga, Zee memilih ke bandar dan menjadi tukang jahit.

Zaman yang memang "samseng jalanan" di kota pada masa sama berdepan konflik keluarga.

Isterinya curang dan melarikan diri bersama anaknya. Zaman dan Zee berada di titik bandar yang sama.

Cuma, Zaman tidak pernah tahu adiknya Zee menjadi tukang jahit di kawasan kawalannya.

Latar jalanan diangkat sebaik mungkin dalam visual PPW dan lakonan realistik watak-watak utama membuktikan

PPW menggerakkan kemurnian cerita melalui Zee yang selalu lemah-lembut jiwanya. Watak yang sentiasa mendoakan kebahagian ayah dan abangnya.

Di jalanan kota besar, Zee akrab dengan Mama Sha (watak ini wujud secara real di Chow Kit pada 1990-an hingga 2000-an).

Saya tidak pasti sama ada Siti Jasmina pernah menemui wanita hebat ini - atau watak Mama Sya hanya satu kebetulan.

Mama Sya dan Zee berkongsi nasib dengan Balqis - anak terbuang yang menjual buku di jalanan.

Saya kira Siti Jasmina menyalin realiti pengalaman hidup Balqis sendiri.

Trio watak ini menggerakkan nilai baik PPW dengan senario ikatan kasih sayang dalam persahabatan.

Trio ini juga menggerakkan idea cerita yang bertentangan dengan sikap watak Zaman; yang "keras" tetapi kehilangan cinta dan rumahtangga.


Anak jalanan dan pecinta buku

Balqis watak yang unik. Tiada dalam katalis jalanan selama ini. Tetapi dipinjam daripada pengalaman pelakonnya sendiri yang pernah menjadi penjual buku di tepi jalan.

Cuma, dalam PPW, Balqis watak yang ditinggalkan ibunya di tepi jalan ketika umur 5 tahun.

Balqis dijaga Mama Sya dan menjadi gadis kecil yang tidak pernah menyalahkan Tuhan terhadap yang menimpa dirinya.

Balqis menjadi cermin kepada Zee dalam memahami erti takdir dan belajar bersikap reda pada ketentuan Ilahi.

Plot PPW menjadi bertambah kronik apabila muncul Ratih, bapa ayam yang memburu Mama Sha dan menuntut hutang "cagar lacur".

Mama Sha meninggalkan kerja menjual tubuh dengan memiliki hutang pada Ratih.

Ini konflik menarik PPW yang mengheret penonton mengembara lebih jauh ke dunia jalanan dan manusianya.

Saksikan PPW kerana anda akan menghayatinya sendiri.

PPW karya terbaik Siti Jasmina dan melengkapkan kebanggaan apabila seorang novelis menulis skrip drama.

Tahniah kepada Siti Jasmina dan Zainorhisyam yang berjaya memberi nafas baharu pada drama Melayu.

Tidak selalu kita meraikan telefilem sempena Hari Raya Korban dengan sebuah drama yang berseni dan berisi.


Penulis merupakan wartawan dan penulis sastera. Beliau telah banyak novel antaranya Hikayat Tanah Jauh (2015), kumpulan cerpen al-Kisah (2012), Yang Tercinta (2012), Empunya Hikayat (2014) dan lain-lain.

Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Astro AWANI.