KUALA LUMPUR: Pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 disaran mengenal pasti minat dan kemampuan diri sebelum membuat pilihan pendidikan di peringkat tinggi.

Presiden Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan, Muhammad Amir Asyraf Mohd Sabri dalam masa sama mengingatkan bakal mahasiswa agar tidak terlalu mengikut rakan bagi mengelak berlaku kesilapan di kemudian hari.

"Kenal pasti minat dan kemampuan diri anda, yang mana anda boleh tengok atau kenal pasti sejak di bangku sekolah lagi. Sekiranya anda berminat dengan subjek aliran sains, anda mungkin boleh menyambung di peringkat tinggi di peringkat sains, namun kalau anda cenderung ke subjek sastera, anda mungkin boleh sambung di peringkat sastera.

"Anda perlu pilih bidang yang lebih baik dan kena dengan minat anda. Anda tidak boleh memilih dan mengikut rakan anda kerana ia mungkin akan menyebabkan anda belajar di separuh jalan atau anda tidak mendapat keputusan yang baik dalam pelajaran anda," katanya kepada Astro AWANI.

Pelajar Ijazah Sarjana Tahun Pertama jurusan Sains Politik, Universiti Sains Malaysia (USM) ini berkata, antara haluan yang boleh dipilih pelajar untuk menyambung pelajaran selepas SPM ialah Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) di Tingkatan 6.

"Ini merupakan fast track untuk anda melanjutkan pelajaran di peringkat Ijazah Sarjana Muda di universiti di mana ia mengambil masa hanya satu tahun setengah sahaja untuk menamatkan pengajian dan kosnya juga lebih murah. Jika anda tidak berminat menyambung pengajian selepas itu, sijil STPM juga mempunyai nilai untuk mendapatkan pekerjaan," ujarnya.

Selain itu, pelajar juga boleh memilih Matrikulasi yang memberi fokus kepada bidang Sains Tulen, Kejuruteraan, dan Perakaunan.

"Ia mengambil masa satu ke dua tahun bergantung kepada bidang dipilih," ujarnya.

Pilihan seterusnya ialah peringkat asasi yang hampir sama seperti Matrikulasi.

"Peringkat asasi diuruskan pihak universiti. Anda boleh menyambung pelajaran di peringkat Ijazah Sarjana Muda apabila anda tamat asasi," katanya lagi.

Seterusnya, ialah pengajian di peringkat diploma yang ditawarkan pihak universiti awam dan swasta.

Kepada yang berminat kemahiran, mereka boleh memilih Politeknik yang membuka peluang pekerjaan lebih luas kepada mahasiswa.

Justeru katanya, terdapat banyak haluan yang boleh dipilih pelajar untuk ke peringkat selanjutnya.

Namun, setiap orang perlu mempunyai tekad yang tinggi untuk berjaya dan mempunyai kehidupan yang lebih baik pada masa akan datang.


 
Sumber Facebook astroawani