Buat pertama kalinya, konsert ini menghimpunkan selebriti tanah air dengan misi membantu mangsa banjir menerusi Tabung Bantuan Banjir Astro Kasih.
Persembahan artis tempatan seperti Hael Husaini, Noraniza Idris, Ayda Jebat, Noki, Syiha Zikir, dan ramai lagi menyerikan acara ini sambil diselangi dengan pelbagai hadiah menarik daripada penaja OPPO.
Penyanyi Noki menyifatkan peluang untuk membuat persembahan di konsert ini sebagai rezeki dan platform mendekatkan dirinya dengan peminat dalam melangkah ke tahun baharu.
“Alhamdulillah diberi rezeki untuk menutup tahun ini bersama dengan MeleTOP. Noki rasa benda ini dapat mendekatkan kita dengan crowd dan peminat. Jadi ini satu perkara yang sangat baik,” katanya.
Pasangan penyanyi duo, Firdaus Rahmat dan Fahimi Rahmat, turut berkongsi keterujaan mereka untuk menjadi sebahagian daripada malam penuh bersejarah itu.
“Kami amat teruja sebab ini adalah persembahan pertama kami bersama MeleTOP dan Astro. Kalau tengok lineup malam ini, kami pun nak pergi tengok persembahan mereka,” ujar mereka.
Pengacara MeleTOP, Hawa Rizwana, berkata konsert ini juga memberi peluang kepada orang ramai untuk menyumbang kepada mangsa banjir.
“Dalam kita nak masuk tahun baharu ramai yang excited, tetapi ada yang terkesan. Astro sentiasa membuka peluang dan mengajak semua membuat sumbangan melalui Astro Kasih kepada mangsa banjir, dan alhamdulillah kutipannya sangat banyak sekali,” katanya.
Konsert Countdown MeleTOP 2025 membuktikan bahawa hiburan mampu membawa impak positif kepada masyarakat, seiring dengan usaha Astro membantu mereka yang memerlukan sambil mengekalkan statusnya sebagai pusat ‘Home of Entertainment Experience’ di Malaysia.