NEW YORK: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menggesa siasatan bebas, tidak berpihak dan telus sepenuhnya dilaksanakan berhubung protes di Bangladesh.

Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres juga minta semua pihak bertenang, selepas episod kebangkitan rakyat yang diketuai kumpulan pelajar di Bangladesh.

Guterres menyifatkan beliau bersolidariti dengan rakyat Bangladesh dan menyeru agar hak asasi manusia mereka dihormati sepenuhnya.

Mesej Guterres disampaikan timbalan jurucakap PBB, Farhan Haq.

Presiden Bangladesh membubarkan Parlimen pada Selasa, membuka jalan bagi sebuah kerajaan sementara dan pilihan raya baharu sehari selepas Perdana Menteri Sheikh Hasina meletak jawatan dan melarikan diri susulan tindakan keras terhadap kebangkitan yang diketuai oleh pelajar.

Pejabat Presiden Mohammed Shahabuddin juga mengumumkan bahawa pemimpin Parti Nasionalis Bangladesh (BNP), Begum Khaleda Zia, bekas Perdana Menteri yang telah berseteru dengan Hasina selama beberapa dekad, telah dibebaskan daripada tahanan rumah.

Penunjuk perasaan pelajar telah mengancam untuk mengadakan lebih banyak demonstrasi jika Parlimen tidak dibubarkan.

Gerakan yang menjatuhkan Hasina bermula daripada demonstrasi menentang kuota pekerjaan sektor awam untuk keluarga veteran perang kemerdekaan Bangladesh pada tahun 1971, yang dilihat oleh pengkritik sebagai cara untuk memelihara pekerjaan untuk sekutu parti pemerintah.

Kira-kira 300 orang terbunuh dan ribuan cedera dalam keganasan yang melanda negara itu sejak Julai.