NEW DELHI: Konsul Kehormat Malaysia yang baru dilantik di Maldives menerima exequatur pada Isnin.

Menteri Luar Maldives Abdulla Khaleel memberi kebenaran kepada Ragheb Ahmed Khalaf yang berpangkalan di Male sebagai Konsul Kehormat Malaysia di negara itu, menurut kenyataan Kementerian Luar Maldives.

Dalam pertemuan dengan Ragheb di kementerian, Khaleel menekankan peranan konsul kehormat dalam memupuk hubungan yang lebih erat serta meningkatkan interaksi antara rakyat Malaysia dan Maldives.

Konsul kehormat yang bukan diplomat profesional, dapat membantu dalam perkhidmatan konsular dan tugas lain, selain bertindak sebagai mata dan telinga negara yang melantik mereka.

Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Maldives dan Sri Lanka Badli Hisham Adam, kini berpangkalan di Colombo, ibu negara Sri Lanka.

-- BERNAMA