Ekonomi merupakan isu utama yang dihadapi rakyat AS semasa kempen presiden Trump, khususnya inflasi dan harga tinggi barangan runcit.
"Mereka akan mampu membeli barangan runcit mereka tidak lama lagi," kata Trump pada majlis penghormatan beliau sebagai "Person of the Year" versi Time Magazine pada 12 Dis di New York City.
Namun, perkara itu mungkin tidak berlaku, sekurang-kurangnya tidak dalam masa terdekat, menurut Ed Hirs, seorang ahli ekonomi dari Universiti Houston.
Trump mengatakan beliau merancang untuk mengenakan tarif sebanyak 25 peratus ke atas barangan yang diimport dari negara rakan dagang utama AS, termasuk Mexico dan Kanada.
Sekiranya beliau menepati janji kempen untuk menaikkan cukai import, Hirs berkata hasilnya mungkin akan meningkatkan harga untuk pengguna AS.
"Ini adalah komponen tarif yang tidak difahami oleh pentadbiran Trump. Ia bukanlah situasi atau langkah strategik yang menguntungkan satu pihak sahaja," kata Hirs.
"Jika saya menaikkan tarif ke atas produk Mexico sebanyak 25 peratus dan saya seorang pengeluar AS yang kini boleh menaikkan harga sebanyak 25 peratus, itu yang akan berlaku," tambahnya.
Hirs menjelaskan bahawa perdagangan dan pelaburan gabungan antara AS, Mexico dan Kanada bernilai kira-kira AS$1.8 trilion setahun dan harga yang lebih tinggi akan memberi kesan bukan sahaja kepada produk makanan dan barangan runcit, tetapi juga jika Trump menunaikan janji tarif terhadap negara itu.
"Kanada sangat penting kerana kita mengimport kira-kira 4 juta tong minyak sehari dari Kanada. Tarif 25 peratus ke atas itu pasti akan memberi kesan kepada setiap pengguna di seluruh negara kerana pengeluar domestik akan dapat menaikkan harga mereka untuk memadankannya," tambah Hirs.
Walaupun Trump mendakwa semasa kempen bahawa "apabila saya menang, saya akan segera menurunkan harga, bermula dari hari pertama," beliau kelihatan mengurangkan jangkaan itu semasa temu bual bersama Time Magazine.
"Sukar untuk menurunkan harga setelah ia naik," katanya.
"Sangat sukar...tetapi saya rasa harga akan turun...saya fikir rantaian bekalan yang lebih baik akan menurunkannya. Rantaian bekalan masih belum berfungsi dengan baik," tambahnya.
Trump juga percaya sistem imigresen AS telah gagal dan telah berjanji untuk merombak undang-undang imigresen negara itu bermula dengan penghantaran pulang secara besar-besaran dan menamatkan kewarganegaraan berdasarkan kelahiran.
Republikan di Kongres juga mengutamakan langkah-langkah keselamatan sempadan dan mencipta undang-undang baharu sebagai sebahagian daripada pakej bajet imigresen yang dijangkakan.
Hirs berkata penghantaran pulang secara besar-besaran terhadap berjuta-juta pendatang tanpa izin kemungkinan akan memberi kesan besar terhadap ekonomi AS kerana ia akan mengurangkan tenaga buruh secara keseluruhan dalam sektor yang memerlukan tenaga kerja manual atau pekerjaan yang tidak mahu dilakukan oleh rakyat AS, seperti kerja penjagaan rumput atau mencuci pinggan serta membersihkan meja di restoran.
Beliau memberi contoh pekerjaan di kawasan minyak Permian Basin di barat Texas.
"Kerana di sana, sangat sukar untuk mendapatkan pekerja yang mampu bertahan dalam suhu 120 darjah Fahrenheit (48.89 darjah Celsius) dalam sehari yang panjang bekerja di pelantar minyak...dan menghantar mereka pulang secara besar-besaran akan meningkatkan kos mencari pengganti buruh di seluruh AS," katanya.
Mengenai hubungan dengan China, Trump bercadang untuk membaiki hubungan setelah mengakui bahawa pandemik COVID-19 pada 2020 telah merenggangkan hubungannya dengan Presiden Xi Jinping semasa penggal pertama beliau di Rumah Putih.
"Kami mempunyai hubungan yang sangat baik sehingga COVID," kata Trump kepada pemberita di resort Mar-a-Lago di Florida, sambil memanggil Xi sebagai "teman" dan berkata bahawa presiden China itu "adalah seorang pemimpin yang mengagumkan."
"COVID tidak menamatkan hubungan itu," tambah Trump. "Tetapi ia adalah garis batas yang terlalu jauh bagi saya."
Perang dagang tercetus antara AS dan China semasa penggal pertama Trump yang menyebabkan rantaian bekalan global terganggu dan menjejaskan ekonomi AS kerana AS adalah rakan dagang terbesar China.
Ekonomi global turut terjejas oleh perang dagang AS-China dan inflasi meningkat di seluruh dunia.
Namun, Trump menyatakan bahawa beliau merancang untuk meneruskan perjuangan itu dengan menamatkan status perdagangan negara paling disukai, China dan mengenakan tarif ke atas import China antara 60 peratus hingga 100 peratus, yang boleh mencetuskan perang dagang sekali lagi dan menggoncang ekonomi AS.
"Jika Trump meneruskan dasar ini, termasuk tarif 25 peratus untuk Mexico dan Kanada, akan ada, dan saya memilih kata-kata saya dengan berhati-hati di sini, peningkatan mendadak dalam inflasi yang tidak pernah dilihat sebelumnya," kata Hirs, yang turut menunjukkan apa yang berlaku semasa penggal pertama Trump apabila perang dagang meningkat.
"Seperti yang kita tahu, dari kali terakhir Trump menyerang China dengan tarif, China membalas bukan sahaja dengan tarif yang lebih tinggi ke atas barangan AS, tetapi berhenti mengimport bijirin dari AS," tambahnya. "Jika itu berlaku seperti kali terakhir, kita akan mempunyai dua tahun hasil pertanian terkumpul di seluruh kawasan ladang."
Isu global lain yang perlu ditangani Trump adalah perubahan iklim, satu topik yang beliau anggap sebagai rekaan oleh Demokrat.
Titik fokus perbincangan ini adalah Akta Pengurangan Inflasi (IRA), undang-undang yang dijangka mengurangkan pelepasan gas rumah hijau AS sebanyak 40 peratus menjelang 2030, dengan pelaburan lebih US$300 bilion untuk mengurangkan pelepasan, melabur dalam tenaga bersih dan menawarkan potongan cukai kepada pengguna serta subsidi kepada pengeluar untuk produk seperti kenderaan elektrik.
Trump telah mengancam untuk memansuhkan beberapa langkah yang diluluskan dalam undang-undang itu, memperkukuh falsafah tenaga beliau dengan "drill, baby, drill."
Namun, memandangkan banyak daerah kongres Republikan sudah memulakan projek pembuatan untuk mendapatkan kredit cukai ini, pakar percaya sukar untuk Trump membatalkan beberapa dasar tenaga bersih itu kerana bimbang reaksi balas daripada penyokong Republikan dan dengan pelantikan Ketua Pegawai Eksekutif Tesla Elon Musk untuk mengetuai Jabatan Kecekapan Kerajaan yang baharu (DOGE), menghapuskan potongan cukai itu nampaknya tidak mungkin berlaku.
"Satu daripada prinsip asas kewangan adalah bahawa ketidaktentuan merugikan pasaran dan ketidaktentuan adalah musuh Wall Street dan polisi yang berbalik-balik tidak membantu sektor swasta atau masyarakat secara amnya," kata Hirs.
"Data yang saya lihat menunjukkan bahawa 80 peratus perbelanjaan IRA berada di daerah merah (Republikan)...jadi, menarik balik wang itu akan memberi kesan yang serius terhadap ekonomi tempatan yang telah bergantung pada itu," tambahnya.
"Tiada apa yang boleh dilakukan oleh pentadbiran Trump untuk membalikkan peralihan tenaga. Mereka boleh memperlahankannya, tetapi mereka tidak boleh membalikkannya," katanya.
Sama ada Trump akan berjaya menangani semua isu ini masih belum jelas, tetapi agenda beliau penuh dengan polisi domestik dan antarabangsa yang perlu ditangani segera sebaik sahaja beliau dilantik pada 20 Jan dan pastinya akan ada beberapa jenis kritikan dan reaksi daripada pengkritik dan sekutu beliau, yang bukan perkara baharu bagi presiden terpilih itu.
Akhirnya, pengundi AS akan menentukan di peti undi pada pilihan raya pertengahan penggal 2026, yang sekali lagi akan menentukan struktur kuasa antara Republikan dan Demokrat di Kongres.
Pada ketika itu, adalah lebih jelas untuk menilai sama ada Trump menangani polisi ini dengan berkesan.
-- BERNAMA