Ketua Pegawai Perniagaan Carsome, Aaron Kee berkata perkembangan itu menyerlahkan peranan rantau ini yang semakin meningkat dalam landskap automotif global kerana rantau ini mengimbangi inovasi global dengan strategi tempatan.
Beliau dalam satu kenyataan semalam berkata lima trend automotif utama yang membentuk pasaran di Asia Tenggara tahun ini.
Mengenai pecutan penggunaan EV di rantau ini, Kee memberitahu negara seperti Malaysia mengalu-alukan penyertaan berprofil tinggi seperti Tesla, memperkenalkan modelnya bersama rancangan untuk mengembangkan infrastruktur pengecasan EV.
Bagaimanapun, penggunaan EV di rantau ini terjejas oleh cabaran dari segi kemampuan dengan kerajaan mengimbangi penyertaan asing dan dasar untuk menyokong pembuat kereta tempatan.
"Sebagai contoh, mekanisme harga lantai di beberapa pasaran diperkenalkan untuk memberi masa kepada penggiat domestik untuk meningkatkan pengeluaran EV," katanya.
Kee turut menyifatkan tahun 2024 sebagai tahun kejayaan untuk pembuat kereta China di Asia Tenggara, jenama seperti BYD, Chery dan Wuling berjaya menjenamakan semula dan memperoleh daya tarikan pasaran melalui harga yang kompetitif, ciri moden dan sokongan selepas jualan yang kukuh.
Menurut data daripada Persatuan Pengilang Automobil China (CAAM), China menjual sebanyak 3.316 juta kenderaan pada November 2024, peningkatan 11.7 peratus tahun ke tahun.
Dari Januari hingga November, eksport kereta mencapai 5.345 juta unit, melonjak 21.2 peratus berbanding tempoh sama tahun lepas.
Trend ketiga ialah fakor kemampuan untuk membeli kenderaan kekal sebagai penggerak.
Kee berkata tahap pendapatan yang pelbagai di rantau ini bermakna jualan diterajui oleh kereta kompak, kenderaan utiliti sukan (SUV) bersaiz sederhana dan EV mampu milik.
Selain itu, kenderaan terpakai juga semakin popular apabila pembeli mencari penyelesaian yang kos efektif.
"Negara seperti Malaysia dan Thailand sedang mengemudi dasar baharu yang mempengaruhi tingkah laku pengguna," katanya.
Kee berkata rasionalisasi subsidi diesel pada 2024 dan rasionalisasi subsidi petrol pada 2025 di Malaysia telah menggalakkan pengguna mengutamakan pilihan kenderaan mampu milik.
Sementara itu, kriteria kelulusan pinjaman Thailand yang lebih ketat telah mendorong pembeli ke arah alternatif yang menjimatkan kos.
"Pembuat kereta China memanfaatkan trend ini dengan memperkenalkan kenderaan yang menggabungkan kemampuan dengan teknologi canggih," katanya.
Dua trend terakhir ialah transformasi digital jualan automotif dan penerimaan terhadap kemampanan.
"Model hibrid mendapat populariti di Indonesia, Thailand dan Malaysia, ia dilihat sebagai alternatif praktikal kepada pilihan EV sepenuhnya," katanya.
-- BERNAMA