KUALA LUMPUR: Pengeluar kereta nasional Proton Holdings Bhd (Proton) kekal di tempat kedua dalam jualan automotif pada September, dengan jumlah jualan bagi domestik dan eksport sebanyak 11,269 unit, menjadikan jualan tahun hingga kini (YTD) sebanyak 112,758 unit.

Dalam satu kenyataan, Proton menganggarkan bahagian pasaran pada 20.1 peratus untuk bulan tersebut.

Jumlah jualan bagi industri automotif menurun pada September, dengan jumlah volum industri (TIV) dianggarkan menurun ke tahap terendah dalam tempoh 17 bulan dengan hanya mencapai sebanyak 56,067 unit, pengurangan sebanyak 22.2 peratus berbanding bulan sebelumnya.

Sementara itu, jumlah anggaran YTD untuk TIV masih lebih baik berbanding 2023 dengan jumlah volum hampir 590,000 unit, iaitu 3.0 peratus lebih baik daripada tahun lepas.

Ia berkata model Proton X70 2025 meraih semula gelaran sebagai SUV segmen C terlaris, dengan 1,466 unit terjual pada September.

Jualan terbaik Proton masih kekal dengan Proton Saga, yang mencatatkan 5,162 jualan bulan lepas,menempatkannya di tempat kedua bagi sedan segmen A, katanya.

Selain itu, Proton Persona mencatatkan jualan sebanyak 1,295 unit manakala Proton Iriz meraih jualan yang stabil dengan 345 unit terjual.

"September secara tradisional adalah bulan yang perlahan bagi industri automotif, dan bulan lepas juga tidak terkecuali.

"Pengurangan dalam volum Proton adalah jauh lebih kecil berbanding penurunan dalam TIV, ini menunjukkan cabaran sukar bagi suku akhir tahun untuk industri automotif," kata Ketua Pegawai Eksekutif Proton Roslan Abdullah.

Bagaimanapun, beliau yakin Proton mempunyai produk yang diperlukan untuk meningkatkan jumlah jualan dalam tempoh tiga bulan akan datang, dengan dua model SUV yang baharu diperbaharui dan sebuah sedan baharu pada tahun penuh pertama jualannya.

-- BERNAMA