PUTRAJAYA: Kereta elektrik pertama Proton, e.MAS 7 membuat kemunculan pada perarakan Sambutan Hari Kebangsaan hari ini bersama-sama model lain pengeluar kereta nasional itu.


Ringkasan AI
  • Kereta elektrik pertama Proton, e.MAS 7, membuat penampilan pertama pada perarakan Sambutan Hari Kebangsaan.
  • Model ini dijangka dikeluarkan menjelang akhir tahun ini dan dianggap sebagai pencapaian penting bagi Proton.
  • Proton turut mempamerkan pelbagai model kereta dari Proton Saga yang dilancarkan pada 1985 hingga ke model terbaharu seperti Wira, Putra, Tiara, Savvy, dan Siri X.


Ketua Pegawai Eksekutif Puspakom Sdn Bhd Mahmood Razak Bahman yang mewakili kontinjen Proton menyifatkan e.MAS 7 sebagai pencapaian penting Proton.

"Ini penampilan pertama e.MAS 7 kepada umum yang akan dikeluarkan menjelang akhir tahun ini," katanya kepada Bernama.

Proton mempamerkan model daripada Proton Saga yang dilancarkan pada 1985 kepada Wira, Putra, Tiara, Savvy dan Siri X pada perarakan itu.

Berdasarkan Global Modular Architecture (GMA), Proton e.MAS 7 menampilkan sistem pemacu elektrik 12-dalam-1 dan bateri litium besi fosfat (LFP) yang menggunakan sel bateri Aegis Short Blade.

Ia juga dilengkapi sistem audio Flyme Auto yang dikuasakan oleh cip 7 nm.

Mahmood yang juga bekas Ketua Komunikasi Strategik Kumpulan DRB-HICOM Berhad berkata penyertaan DRB-Hicom pada acara itu bersama barisan kenderaannya dapat menonjolkan kejayaan sektor industri negara.

"Saya sangat teruja kerana sejak kecil saya menonton perarakan Hari Kebangsaan dan mengimpikan untuk menjadi sebahagian daripadanya.

"Sekarang, setelah menjadi sebahagian daripada dunia korporat, saya akhirnya dapat menyertai perarakan dan mempamerkan kenderaan saya sendiri," katanya yang memandu Proton Putra miliknya.

-- BERNAMA