KUALA LUMPUR: Pelaksanaan e-invois merupakan satu langkah penting ke arah usaha mendigitalkan urusan kerajaan namun dalam masa sama ia juga dijangka memberi cabaran, terutamanya kepada industri automotif.

E-invois merujuk kepada menjana, menghantar, menerima dan menyimpan invois dalam format digital. Sistem ini menggantikan keperluan invois berasaskan kertas dan menyelaraskan proses pengeluaran invois.

Sektor dalam industri automotif yang dijangka terjejas termasuk kewangan dan insurans automotif, pembaikan dan penyenggaraan automotif, alat ganti dan aksesori automotif, pengedar kereta dan pengeluar kenderaan.

Pensyarah kanan Pengajian Teknologi dan Pengurusan Logistik Universiti Utara Malaysia, Rohafiz Sabar berkata, industri automotif negara dijangka berdepan pelbagai cabaran dalam menyesuaikan diri kepada e-invois, termasuk kos pelaksanaan, keengganan melakukan perubahan dan isu keselamatan data.

"Bagaimanapun, dengan sokongan yang sewajarnya daripada kerajaan, seperti bantuan kewangan, program latihan dan penambahbaikan infrastruktur teknologi, pengedar kereta boleh mengatasi cabaran ini dan seterus dapat melaksanakan sistem e-invois dengan jayanya," katanya kepada Bernama dalam satu temu bual.

Rohafiz berkata, industri automotif perlu memanfaatkan sepenuhnya sokongan kerajaan bagi memastikan peralihan yang lancar dan berkesan.

"Kerajaan boleh menyediakan bantuan kewangan atau insentif cukai, khususnya kepada pengedar kereta, bagi mengurangkan beban kos pelaksanaan sistem e-invois.

"Ini boleh jadi dalam bentuk geran, pinjaman faedah yang rendah, atau potongan cukai untuk pelaburan dalam teknologi e-invois. Geran khas juga boleh disediakan untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam sektor automotif yang mengguna pakai sistem e-invois," katanya.

Rohafiz turut mencadangkan supaya kerajaan menawarkan program latihan dan pembinaan kapasiti untuk membantu perniagaan automotif kecil dan pekerja mereka menyesuaikan diri dengan sistem e-invois.

"Ini termasuk kursus latihan, bengkel, dan sumber pendidikan dalam talian untuk meningkatkan kemahiran teknologi pekerja mereka. Program latihan yang disediakan oleh agensi kerajaan atau dengan kerjasama institusi pendidikan boleh menawarkan kursus e-invois yang disubsidikan," katanya.

Rohafiz berkata, kerajaan juga boleh memperbaiki infrastruktur teknologi dan keselamatan untuk menyokong pelaksanaan e-invois.

"Ini termasuk menyediakan rangkaian internet yang lebih pantas dan selamat serta menyokong sistem keselamatan siber yang kukuh. Kerajaan boleh melabur dalam rangkaian internet berkelajuan tinggi di kawasan luar bandar dan menyediakan garis panduan serta sokongan teknikal untuk keselamatan siber bagi perniagaan kecil dan sederhana," katanya.

Beliau juga berkata, pelaksanaan e-invois dalam industri automotif di Malaysia dijangka membawa kepada peningkatan ketelusan dan keyakinan pasaran, kecekapan operasi yang lebih tinggi, serta inovasi dalam pilihan pembiayaan dan pemasaran.

"Kesannya akan membantu memacu industri automotif yang lebih mampan dan berdaya saing dalam jangka masa panjang. Dengan sokongan kerajaan dan kerjasama yang kukuh antara pemain industri automotif, pengenalan e-invois boleh menjadi langkah penting ke arah transformasi digital yang menyeluruh dalam sektor ini," katanya.

Sementara itu, Pengarah Institut Pengangkutan Malaysia (MITRANS) yang juga Profesor Madya Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr. Wan Mazlina Wan Mohamed berkata, sokongan daripada kerajaan amat diperlukan untuk peralihan yang lancar.

"Insentif untuk PKS yang melaksanakan e-invois akan menyumbang pulangan cukai kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN) dan secara tidak langsung membantu meningkatkan ekonomi negara," katanya.

Wan Mazlina berkata, peralihan kepada e-invois mungkin memerlukan pelaburan yang besar untuk menyediakan sistem rangkaian, sambungan internet yang stabil dan perisian yang dikemas kini untuk pengedar yang lebih kecil.

"Kos tambahan mungkin timbul daripada pengambilan dan latihan kakitangan tambahan untuk menguruskan tugas pentadbiran, terutamanya jika pemilik perniagaan terlibat secara langsung dalam operasi," katanya.

Beliau juga berkata, dalam tempoh jangka panjang, pelaksanaan e-invois akan memudahkan untuk mengesan pembelian kereta dalam industri automotif.

Penyesuaian data antara e-invois dan pulangan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) akan menyelaraskan proses pematuhan cukai, menjimatkan masa dan usaha untuk perniagaan

"Apabila kedua-dua perniagaan dan pengguna sudah biasa dengan sistem itu, ia akan mengurangkan keperluan untuk campur tangan secara manual dan meminimumkan risiko kesilapan manusia.

"Penyesuaian data antara e-invois dan pulangan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) akan menyelaraskan proses pematuhan cukai, menjimatkan masa dan usaha untuk perniagaan," katanya.

Di laman sesawangnya, LHDN menyatakan, e-invois akan dilaksanakan secara berperingkat untuk memastikan peralihan yang lancar.

"Ini terpakai kepada pembayar cukai dengan hasil tahunan atau jualan melebihi RM100 juta menjelang 1 Ogos 2024, pembayar cukai dengan hasil tahunan atau jualan melebihi RM25 juta dan sehingga RM100 juta menjelang 1 Jan 2025, dan semua pembayar cukai menjelang 1 Julai 2025," kata LHDN. - BERNAMA