KUALA LUMPUR: Syarikat peneraju dalam inovasi teknologi pertanian, P2 Biotech menyambut baik seruan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang menekankan keperluan revolusi teknologi dalam industri getah semasa Konvensyen Pegawai RISDA 2025.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif P2 Biotech, Mohd Hazim Nordin dalam satu kenyataan, seruan ini selaras dengan visi P2 Biotech untuk memodenkan sektor getah, memperkasakan pekebun kecil, serta menarik minat generasi muda ke dalam industri strategik ini. 

Sebagai langkah responsif, P2 Biotech memperkenalkan inovasi terkini mereka, iaitu P2 Tap.

Ia selaras dengan iltizam kerajaan untuk mengadaptasi teknologi moden seperti kecerdasan buatan (AI), automasi dan pertanian pintar

Sistem penorehan getah berteknologi tinggi ini mampu memaksimumkan hasil lateks, mengurangkan pergantungan kepada tenaga kerja manual dan memastikan operasi penorehan dapat diteruskan tanpa mengira keadaan cuaca. 

"P2 Tap bukan sekadar inovasi tetapi transformasi besar yang bakal mengubah landskap industri getah.

"Dengan automasi dan teknologi pintar, ia meningkatkan produktiviti sekali gus menjadikan sektor ini lebih menarik untuk generasi muda," katanya.

Tambah Mohd Hazim, inovasi ini menyokong visi Timbalan Perdana Menteri untuk menangani isu penuaan dalam kalangan pekebun kecil.

Dalam usaha menyahut cabaran tersebut, P2 Biotech komited menyediakan teknologi yang mudah digunakan dan berorientasikan kecekapan seperti P2 Tap.

Sistem P2 Tap juga seiring dengan misi RISDA untuk melahirkan lebih ramai usahawan pekebun kecil.

Dengan mengurangkan beban kerja fizikal dan meningkatkan keuntungan, inovasi ini membuka ruang untuk pekebun kecil menjadi agripreneur yang berjaya.

Syarikat ini percaya bahawa pendekatan inovasi dan teknologi mampu mencetus minat dalam kalangan usahawan muda, selain membantu memodenkan industri getah secara keseluruhan. 

P2 Biotech turut menyatakan kesediaan mereka untuk bekerjasama dengan agensi berkaitan seperti RISDA dan KESEDAR bagi menyokong inisiatif kerajaan.

Jelas Hazim, syarikat itu juga menyokong tiga kluster utama yang digariskan oleh Ahmad Zahid iaitu Modal Insan, Ekonomi dan Keusahawanan. 

P2 Biotech berharap dapat bekerjasama erat dengan semua pihak berkepentingan untuk membawa industri getah ke era baharu yang lebih produktif, lestari dan inovatif.

Melalui teknologi seperti P2 Tap, syarikat ini yakin sektor getah mampu mengukuhkan legasi untuk generasi akan datang sambil mencapai pertumbuhan dan ketahanan jangka panjang.

Semalam, Ahmad Zahid berkata industri getah perlu melakukan revolusi melalui penerapan teknologi moden seperti kecerdasan buatan, automasi dan inovasi ladang bagi menarik penglibatan generasi muda.

Katanya, industri itu berdepan dengan cabaran apabila purata umur pekebun kecil pada ketika ini adalah 61 tahun.