Menerusi kenyataan pada Rabu, Kementerian Digital menjelaskan perbincangan utama semasa mesyuarat itu akan meliputi tadbir urus kecerdasan buatan (AI), rangka kerja privasi rentas sempadan, keselamatan siber, dan Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital (DEFA).
Menteri Digital Gobind Singh Deo, yang akan menyertai ADGMIN berkata mesyuarat itu amat penting untuk meletakkan asas bagi mengukuhkan ekosistem digital ASEAN dan bersedia untuk masa depan dipacu AI.
Mesyuarat itu diadakan ketika Malaysia menjadi Pengerusi ASEAN tahun ini.
ADGMIN, bertemakan "Secure, Innovative, Inclusive: Shaping ASEAN's Digital Future" seiring dengan visi strategik Malaysia untuk meletakkan negara ini sebagai peneraju serantau dalam ekonomi digital.
"Komitmen negara untuk menambah baik infrastruktur, merangsang daya tahan siber, dan memupuk bakat tempatan, semuanya adalah elemen penting untuk mewujudkan ekosistem digital yang kukuh," katanya.
Beliau berkata semua itu akan menyerlahkan peranan Malaysia dalam mendorong perbincangan mengenai keselamatan siber, keselamatan AI, dan infrastruktur pusat data.
Agenda Malaysia untuk ASEAN 2025 memberikan tumpuan kepada lima bidang utama iaitu AI dan data, keselamatan siber, bandar AI, teknologi kerajaan (GovTech), dan kreativiti digital.
Bagi memacu kemajuan dalam bidang itu, Malaysia akan mengehoskan sembilan acara utama pada 2025, termasuk Sidang Kemuncak AI Malaysia (Jun), Sidang Kemucak Keselamatan 5G dan Internet Pelbagai Benda (IoT) ASEAN (Ogos), Ekspo Bandar Pintar Kuala Lumpur (September), Sidang Kemuncak SmartGov (Oktober), dan Level Up Play KL 2025 (November).
Semua platform itu bertujuan menarik pelaburan, menggalakkan inovasi, dan membina rangkaian di seluruh rantau ini.
Semasa ADGMIN, Gobind akan mengadakan perbincangan dua hala dengan Timbalan Perdana Menteri Thailand, Prasert Jantararuangtong yang juga Menteri Ekonomi Digital dan Masyarakat; Setiausaha Agung ASEAN Dr Kao Kim Hourn; dan Naib Presiden Kanan Majlis Perniagaan Amerika Syarikat (AS)-ASEAN, Brian McFeeters.
Beliau juga akan mengadakan pertemuan dengan wakil dari negara anggota ASEAN, rakan dialog dan rakan pembangunan dari Indonesia, China, Jepun, Korea Selatan, serta Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (agensi khusus Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi teknologi maklumat dan komunikasi).
Gobind turut dijangka menyertai sesi dialog ADGMIN dengan negara rakan utama termasuk China, Jepun, Korea Selatan, AS dan India.
-- BERNAMA