Perdana Menteri menjelaskan, bagi memenuhi tujuan berkenaan, pelaburan besar amat diperlukan daripada semua pihak yang mempunyai visi hijau sama.
“Setakat ini, dalam perbicangan kami dengan Laos, Thailand, Singapura, Indonesia dan Brunei, kami tidak berdepan sebarang masalah. Pastinya kami perlukan pelaburan yang besar. Kerajaan Jepun sangat berminat untuk terlibat.
“China dan Amerika Syarikat juga pelabur besar di Malaysia. Kita cuba mengemudi cabaran ini di tengah-tengah ketidaktentuan geopolitik. Tetapi tidak sesiapa; China, Amerika Syarikat dan ASEAN, mempertikaikan keperluan tenaga boleh baharu termasuk Grid Tenaga ASEAN,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa Sidang Kemuncak Abu Dhabi Sustainability Week 2025 (ADSW Summit 2025) dalam sesi dialog “ASEAN’s Interconnected Future: Linking Energy, Trade & Prosperity”.
Grid tenaga ASEAN ialah inisiatif kerjasama antara negara anggota, yang bertujuan untuk menyepadukan dan meningkatkan rangkaian bekalan elektrik di seluruh rantau ini.
Dalam perkembangan berasingan, Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) menetapkan dua keberhasilan ekonomi keutamaan (PED) berkaitan tenaga di bawah Kepengerusian ASEAN Malaysia tahun ini.
Menerusi kenyataan, PETRA memaklumkan PED berkenaan merangkumi ASEAN Plan of Action for Energy Cooperation (APAEC) 2025 dan ASEAN Power Grid (APG) Enhanced Memorandum of Understanding (MoU) yang bermula tahun 2026 hingga 2030.
"Dua dokumen dasar ini adalah penting untuk memastikan kerjasama yang berterusan dalam kalangan negara anggota ASEAN bagi membangunkan industri tenaga ke arah jaminan bekalan dan kemampanan tenaga di rantau ini," jelas kenyataan itu pada Isnin.
Dalam pada itu, Anwar semasa berucap di Abu Dhabi turut menempelak pihak yang memberikan kritikan keras terhadap pembangunan yang melibatkan kawasan hutan negara.
Menurutnya, Malaysia mempunyai rekod memberangsangkan dalam pemeliharaan kawasan hijau dan pembangunan baharu di kawasan hutan negara adalah terkawal serta tidak wajar dikecam sebagai memusnahkan alam.
“Kita sering mengabaikan hakikat bahawa meskipun Malaysia berdepan dengan pelbagai cabaran sebagai semua ekonomi membangun, kami masih kekalkan 50 peratus kawasan hutan di seluruh negara dan ini bukan pencapaian kecil. Ada harga yang perlu dibayar.
“Oleh itu, kadangkala cemuhan daripada ekonomi-ekonomi perindustrian agak jelik. Ini merupakan satu tanggungjawab, kita tidak ada pilihan. Tetapi mesti ada sedikit empati dan kefahaman bahawa hutan-hutan ini akan digunakan untuk pembangunan tertentu dan perladangan,” ujarnya.