KUALA LUMPUR: Forum Pelancongan ASEAN (ATF) merupakan satu peluang untuk Malaysia mengukuhkan kepimpinan pelancongan serantau, mempamerkan kekayaan budaya dan komitmen terhadap pembangunan pelancongan ASEAN, sekali gus memangkin peluang baharu untuk negara anggota ASEAN dan industri pelancongan global.

Timbalan Ketua Setiausaha (Pelancongan) Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Dr Yasmeen Yasim berkata, ATF 2025 bertujuan meningkatkan kehadiran pelancong ke ASEAN dengan memupuk rangkaian, perkongsian pengetahuan, dan mempromosikan produk pelancongan serantau, di samping memupuk kerjasama dengan pemain industri global.

ATF 2025 dijangka menarik peserta termasuk Menteri-Menteri Pelancongan, Ketua-Ketua Organisasi Pelancongan Nasional, pemimpin industri, wakil media, serta profesional pelancongan dari seluruh ASEAN.

“Pelancongan adalah salah satu daripada penyumbang utama kepada GDP hampir setiap negara anggota ASEAN.

"Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025 mengambil peluang ini untuk memperkukuhkan dan mengetengahkan agenda Malaysia ke persada ASEAN.

"Kita mengutamakan bukan saja kepentingan negara kita tapi juga kepentingan negara jiran dalam konteks penyatuan ASEAN, satu manfaat bersama untuk ASEAN," katanya semasa program Agenda AWANI, pada Selasa.

Menyentuh pemilihan Johor sebagai tuan rumah pula, Yasmeen berkata ia bagi meningkatkan profil Johor dan mempamerkan tarikan pelancongannya yang unik, mampan dan berdaya saing di rantau ASEAN.

“Kita ingin meningkatkan visibility Johor dalam bidang pelancongan. Di Johor sebenarnya ada banyak tarikan tarikan untuk pelancong selain daripada gastronomi. Kita tahu, Johor ada asam pedas, ada Laksa Johor dan pelbagai lagi kebudayaan.

"Tapi pandangan sesetengah orang, Johor tenggelam sebab berdekatan dengan Singapura. Jadi kita di MOTAC mengambil peluang ini untuk meningkatkan lagi meningkatkan lagi visibilty Johor yang sebenarnya ada banyak banyak daya tarikan untuk pelancong,” jelasnya.

Tema ASEAN Tourism Forum (ATF) 2025 adalah 'Unity in Motion: Shaping ASEAN’s Tourism Tomorrow', mencerminkan semangat ASEAN yang menekankan komitmen bersama terhadap keharmonian, kemajuan, dan perpaduan dalam menghadapi cabaran-cabaran baharu.

ATF 2025 akan berlangsung dari 15 Januari sehingga 20 Januari di Johor. Antara acara utama adalah TRAVEX, iaitu pameran perdagangan yang menghubungkan pembeli dan penjual industri pelancongan, dari 15 hingga 17 Januari.

Persidangan Pelancongan ASEAN (ATC) akan berlangsung secara serentak dengan TRAVEX, manakala mesyuarat peringkat tinggi Menteri-Menteri Pelancongan ASEAN akan diadakan dari 16 hingga 20 Januari.