ABU DHABI: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini tiba di Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu (UAE), untuk lawatan rasmi atas jemputan Naib Presiden dan Perdana Menteri UAE, Sheikh Mohammed bin Rashid Al Maktoum.


Ringkasan AI
  • Perdana Menteri Anwar Ibrahim tiba di Abu Dhabi untuk lawatan rasmi, fokus pada CEPA Malaysia-UAE, dialog Abu Dhabi Sustainability Week, dan isu Gaza.
  • Lawatan ini juga sebagai persediaan Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China di Malaysia, sambil menarik pelaburan baharu ke negara.
  • UAE merupakan rakan dagang utama Malaysia di Timur Tengah, dengan jumlah dagangan mencecah RM39.53 bilion pada 2024.


Pesawat khas yang membawa Anwar mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Zayed, Abu Dhabi pada pukul 9.00 malam, 12 Januari (waktu Malaysia 1.00 pagi, 13 Januari).

Setiba di sini, Perdana Menteri disambut Menteri Negara UAE, Ahmed bin Ali Al Sayegh.

Turut hadir Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yang tiba lebih awal dan Duta Besar Malaysia ke UAE, Tengku Datuk Sirajuzzaman Tengku Mohamed Ariffin.

Anwar, yang juga Menteri Kewangan, diiringi Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Zafrul Abdul Aziz; dan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abd Kadir, dan para pegawai kanan kerajaan Malaysia yang lain.

Kali terakhir beliau mengadakan lawatan ke UAE adalah pada Oktober 2023. Lawatan 36 jam itu telah menjana pelaburan komited berjumlah RM40.6 bilion (ASD8.6 bilion) untuk Malaysia dalam sektor seperti tenaga boleh diperbaharui, aeroangkasa dan logistik.

Ini juga merupakan lawatan kerja pertama Anwar ke luar negara sebagai pengerusi ASEAN bagi tahun 2025, dan perbincangan lanjut mengenai Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China yang akan berlangsung tahun ini di Malaysia dijangka menjadi tumpuan perbincangan.

Selain itu, tiga agenda utama dijangka menjadi tumpuan lawatan kerja Perdana Menteri kali ini iaitu pemeteraian Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Malaysia-UAE (CEPA), dialog “ASEAN’s Interconnected Future: Linking Energy, Trade & Prosperity” sempena Abu Dhabi Sustainability Week (ADSW) dan perbincangan mengenai krisis kemanusiaan di Gaza.

Beliau dijadual bertemu rakan sejawatnya pada Isnin di Dubai. Perdana Menteri juga akan mengadakan pertemuan kapten industri tempatan serta berdialog dengan para pemain industri dari negara ini.

Dari Januari hingga November 2024, jumlah dagangan antara Malaysia dan UAE bernilai RM39.53 bilion (ASD8.61 bilion). 

Pada tahun 2023, UAE merupakan rakan dagang kedua terbesar Malaysia di Timur Tengah, dengan jumlah dagangan sebanyak RM39.63 bilion (ASD8.67 bilion). 

Malaysia ialah rakan dagang keempat terbesar UAE di kalangan Negara-negara Anggota ASEAN dan ke-32 terbesar di peringkat global.