Ringkasan AI
- Malaysia dan Bahrain setuju meneroka kerjasama baharu dalam pelaburan, perdagangan, perbankan Islam, semikonduktor, dan pelancongan.
- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim membincangkan isu Palestin dan menekankan kepentingan kerjasama untuk membela rakyat Palestin.
- Anwar bertemu pemimpin Bahrain, berbincang mengenai ekonomi, serta menjemput mereka ke Sidang Kemuncak ASEAN-GCC.
Anwar menyatakan perkara itu pada kunjungan hormat ke atas Putera Mahkota dan Perdana Menteri Bahrain Salman Hamad Al Khalifa, di Istana Gudaibiya, di sini, hari ini.
"Dalam pertemuan ini, kami dapat menilai tahap kemajuan hubungan dua hala antara Malaysia dan Bahrain selain berpeluang meneroka bentuk kerjasama baharu.
"Kerjasama ini meliputi beberapa bidang tumpuan antaranya pelaburan dan perdagangan, kewangan dan perbankan Islam, semikonduktor serta kesalinghubungan meliputi sektor pelancongan," kata beliau dalam kenyataan hari ini.
Anwar tiba di Bahrain hari ini untuk lawatan rasmi ke negara Teluk tersebut atas jemputan Putera Mahkota itu.
Pada pertemuan selama sejam itu, Anwar turut membincangkan perkembangan serantau dengan penekanan khusus terhadap isu Palestin.
"Perkara ini memerlukan kerjasama serta tekad yang menyeluruh untuk memastikan saudara Islam di sana dalam keadaan baik, selain mendapat pembelaan sewajarnya," kata beliau.
Sebagai sebahagian daripada tugas Malaysia selaku Pengerusi ASEAN, Anwar turut menjemput Putera Mahkota untuk melawat Malaysia atau menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC) serta Sidang Kemuncak ASEAN-GCC+ China yang akan datang.
"Semoga hubungan Malaysia dan Bahrain terus diperkukuh sekali gus dapat menarik lebih banyak pelaburan demi kemajuan dan potensi ekonomi negara," kata beliau.
Esok, Perdana Menteri dijadualkan menghadap Raja Bahrain Raja Hamad Isa Al Khalifa di Istana Sakhir, yang menjadi lokasi acara diraja di bahagian selatan negara itu.
Selain itu, beliau yang juga Menteri Kewangan akan mengadakan perbincangan dengan Menteri Kewangan Bahrain, Shaikh Salman Khalifa Al Khalifa, serta melawat Lembaga Pembangunan Ekonomi Bahrain bagi meneroka kerjasama ekonomi.
Perdana Menteri juga dijadualkan bertemu diaspora Malaysia dalam satu majlis makan malam, malam ini.
Sebanyak 297 rakyat Malaysia tinggal di Bahrain, termasuk tiga pelajar yang sedang melanjutkan pengajian tinggi di negara yang terkenal sebagai antara negara dengan nilai mata wang tertinggi di dunia.
-- BERNAMA
