KUALA LUMPUR: Malaysia bakal melancarkan Pelan Hala Tuju Gas Asli pada suku kedua atau ketiga tahun ini dalam usaha mengukuhkan sektor tenaga dan menarik lebih banyak pelaburan.

Dengan sumbangan semasa bernilai RM52 bilion kepada ekonomi, gas asli dijangka kekal sebagai komponen penting dalam campuran tenaga negara.

Namun, pelaksanaan yang berkesan memerlukan keseimbangan dan pendekatan kolaboratif bagi menangani cabaran utama dalam industri ini. 

Berikut adalah empat cabaran utama yang perlu diberi perhatian menurut Setiausaha Agung Persatuan Gas Malaysia (MGA), Khairulanwar Zakaria.

1️⃣ Ketidakseimbangan harga gas

Harga gas Malaysia masih lebih rendah berbanding penanda aras global disebabkan mekanisme harga sedia ada.

Keadaan ini menjejaskan kontrak  gas asli cecair (LNG) jangka panjang yang diperlukan bagi menampung keperluan domestik, sekali gus memberi kesan terhadap daya tarikan pelaburan baharu dalam sektor ini. 

2️⃣ Jurang infrastruktur

Malaysia dijangka lebih bergantung kepada LNG import pada masa hadapan, tetapi infrastruktur sedia ada masih perlu dinaik taraf bagi menyokong keperluan ini.

Pelaburan besar diperlukan bukan sahaja untuk membina kemudahan baharu tetapi juga bagi penyelenggaraan dan peningkatan infrastruktur yang sudah tersedia. 

3️⃣ Penyertaan terhad dalam pasaran

Walaupun pasaran gas Malaysia telah dibuka kepada pihak ketiga, penyertaan pemain industri masih rendah dengan hanya 17 penghantar aktif.

Untuk meningkatkan persaingan, perlu ada usaha untuk mengurangkan dominasi pemain tertentu serta mewujudkan persekitaran yang lebih terbuka bagi pelabur baharu. 

4️⃣ Ketidaktentuan rangka kerja kawal selia

Pelaburan dalam sektor gas asli memerlukan modal besar dan tempoh pembinaan yang panjang.

Justeru, pelabur memerlukan kepastian melalui rangka kerja kawal selia yang jelas dan stabil.

Polisi yang tidak konsisten boleh menjejaskan daya tarikan pelaburan, menjadikan Malaysia kurang kompetitif berbanding negara lain. 

Natural Gas Roadmap: Energy Security or Economic Risk?

Kesimpulannya, pelaksanaan Pelan Hala Tuju Gas Asli yang berkesan memerlukan pendekatan holistik bagi menangani cabaran harga, infrastruktur, persaingan pasaran, dan peraturan industri.

Dengan strategi yang tepat, Malaysia bukan sahaja dapat mengekalkan gas asli sebagai sumber tenaga utama, tetapi juga memastikan daya saing dan kelestarian jangka panjang sektor ini. 

Khairulanwar berkongsi pandangan ketika ditemu bual dalam program Niaga AWANI pada Rabu.