Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata langkah itu penting bagi meningkatkan keselamatan maklumat dan rangkaian serta daya tahan industri komunikasi dan multimedia di Malaysia.
Beliau berkata dalam era digital yang semakin berkembang, ancaman siber menjadi satu daripada cabaran terbesar yang perlu dihadapi oleh negara.
"Sistem komunikasi dan rangkaian yang canggih memerlukan perlindungan lebih ketat bagi memastikan keselamatan maklumat bukan sahaja untuk kepentingan individu, tetapi juga untuk menjaga kestabilan negara secara keseluruhan.
"Oleh itu, garis panduan yang diperkenalkan oleh MCMC ini adalah satu langkah yang amat penting dan wajar dipuji," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ramli berkata langkah yang diterapkan melalui garis panduan itu diyakini akan meningkatkan kesedaran terhadap kepentingan melindungi data dan privasi serta mengurangkan kebimbangan terhadap pelbagai bentuk jenayah siber yang semakin meningkat.
Beliau berkata sebagai agensi yang bertanggungjawab dalam menjaga keamanan dan keselamatan awam, PDRM mengakui kerjasama antara pihak berkuasa termasuk MCMC adalah kunci dalam mengurangkan risiko ancaman siber dan memelihara keselamatan maklumat berkaitan dengan sektor kerajaan, swasta serta komuniti rakyat negara ini.
“PDRM akan terus memberi sokongan dan bekerjasama rapat dengan MCMC dalam usaha memperkukuh keselamatan maklumat dan rangkaian negara.
“Kami juga akan terus melaksanakan inisiatif dan latihan yang berterusan untuk memastikan pasukan PDRM sentiasa bersedia dalam menghadapi ancaman siber yang semakin kompleks,” katanya.
Ahad lepas media melaporkan MCMC memperkenalkan INSG berfungsi sebagai kerangka amalan terbaik dan tidak mandatori buat ketika ini.
Ia menggalakkan pihak industri mengguna pakai amalan terbaik tersebut dalam pengoperasian mereka sebagai sebahagian daripada langkah proaktif memperkukuh keselamatan siber bagi industri komunikasi dan multimedia.
-- BERNAMA