Dianjurkan buat julung kalinya, MATEC 2024 menyasarkan kehadiran seramai 30,000 pengunjung sepanjang tiga hari berlangsung dengan lebih 100 pempamer yang terdiri daripada pemain industri automotif.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Zahid Hamidi berkata pameran ini menghimpunkan pemain industri Bumiputera, usahawan MARA serta rakan strategik MARA dalam ekosistem automotif.
“MATEC adalah satu pameran untuk menterlibatkan pemain industri dalam permotoran dan juga usahawan-usahawan serta mereka yang pernah terlibat dan masih terlibat dalam industri ini,” katanya selepas merasmikan MATEC 2024 bersama Ketua Pengarah MARA, Datuk Azhar Abdul Manaf di pekarangan Stadium Nasional Bukit Jalil pada Jumaat.
Ahmad Zahid berharap untuk melihat lebih ramai anak muda Bumiputera, bukan sahaja berjaya dalam bidang kemahiran, tetapi juga mempelopori teknologi baharu seperti kenderaan elektrik (EV), kecerdasan buatan (AI), komunikasi digital, dan tenaga solar.
Jelasnya, MARA telah membelanjakan sebanyak RM100 juta ringgit dalam bentuk geran, pinjaman serta bengkel kepada para usahawan dalam bidang ini.
“Dengan adanya 4,000 usahawan itu, mereka telah mengambil hampir 100 peratus keluaran TVET di bawah institusi MARA seperti Giat MARA, IKM hingga ke UniKL.
“Ini memperlihatkan bahawa dalam tempoh beberapa dekad ini kesungguhan MARA telah membuahkan hasil dan kita harap ia akan diteruskan,” tambahnya.
Pelbagai aktiviti menarik akan diadakan untuk memeriahkan MATEC 2024, antaranya sesi pandu uji kenderaan elektrik (EV), pertandingan e-game, konsert dari ratu rock negara Ella, cabutan bertuah, dan persembahan produk.
Juga terdapat pameran pengeluar kenderaan atau Original Equipment Manufacturer (OEM) dengan menampilkan jenama terkenal seperti Daihatsu, Perodua, Volvo, Volkswagen, Honda, dan banyak lagi.
Dianjurkan di pekarangan Stadium Nasional Bukit Jalil bermula 20 hingga 22 September ini dari jam 10 pagi sehingga 10 malam, MATEC 2024 dijangka dibanjiri para peminat dunia automotif.