Tinjaun Astro AWANI mendapati anak-anak muda menyifatkan MATEC 2024 sebagai platform untuk mempelajari selok-belok industri automotif.
Ia juga merupakan pengenalan lebih lanjut tentang bagaimana untuk bergiat dalam bidang keusahawan dalam industri tersebut.
Menurut seorang pekerja swasta, Muhammad Danial Mohd Joni, pameran yang julung kali itu turut menyediakan bengkel-bengkel kemahiran terutamanya buat anak muda sepertinya untuk meningkatkan kemahiran untuk dirinya dalam alam pekerjaan.
“Di sini adalah reruai (booth) yang dibuka seperti reruai dari pihak universiti, pekerjaan dan sebagainya.
“Saya juga berpeluang untuk menyertai bengkel-bengkel yang disediakan sama ada yang percuma atau berbayar dan dapat meningkatkan kemahiran saya buat masa ini.
“Saya berpendapat ia juga dapat menarik minat anak muda untuk menerokai bidang automotif ini,” katanya ketika ditemui di pekarangan Stadium Bukit Jalil, di sini, baru-baru ini.
Selain itu, seorang pelajar, Muhammad Hilmi Suleiman berkata, pameran MATEC 2024 sangat menarik kerana dia dan rakan-rakan dapat mempelajari lebih mendalam berkenaan automotif.
“Saya dengan kawan-kawan datang tengok pameran dan yang laksanakan oleh MARA untuk mempelajari tentang automotif terutamanya dari segi enjin, minyak dan aksesori yang ada pada kereta atau motor dan lain-lain.
“Bagi saya, apa yang paling berjaya menarik minat anak muda adalah dari segi pameran hiasan kereta,” katanya.
Seorang lagi pelajar yang ditemui, Muhammad Nazeem Fikry, kemahiran yang dipaparkan di MATEC 2024 membuatkan dia dapat memahami jurusan yang diambilnya di Institut Pengajian Tinggi (IPT).
“Saya datang sini untuk mengambil ilmu seberapa banyak yang saya dapat tentang jurusan automotif yang saya pelajari iaitu penghawa dingin yang ada dalam kereta.
“Saya nak dapat tahu lebih mendalam bagaimana saya boleh pelajari servis dan baiki penghawa dingin dalam kereta.
“Bagi saya anak muda perlu meluangkan masa untuk hadir ke pameran seperti ini untuk mengenali bidang automotif yang bukan hanya kereta dan motor semata-mata,” katanya.
BACA: MATEC 2024: Platform terbaik usahawan automotif perkenal produk tempatan
MATEC 2024 yang julung kali diadakan dirasmikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pada Jumaat lalu.
MATEC 2024 menyasarkan kehadiran seramai 30,000 pengunjung sepanjang tiga hari berlangsung dengan lebih 100 pempamer yang terdiri daripada pemain industri automotif.
Pameran ini menghimpunkan pemain industri Bumiputera, usahawan MARA serta rakan strategik MARA dalam ekosistem automotif.