GOMA: Presiden Republik Demokratik Congo, Felix Tshisekedi telah menolak dialog dengan pemberontak M23 dalam mesyuarat bersama pemimpin kerajaan gabungannya dan mengumumkan pembentukan kerajaan perpaduan nasional, lapor agensi berita Jerman (dpa).

"Kita mesti bersatu," kata Tshisekedi dalam sidang media selepas mesyuarat pada petang Sabtu.

Beliau menambah bahawa gabungan itu tidak seharusnya terpengaruh oleh ketegangan dalaman dan manipulasi dari luar.

Bagaimanapun, beliau tidak memberikan sebarang butiran mengenai bentuk kerajaan perpaduan nasional itu.

Tshisekedi berkata beliau merancang untuk mengadakan perbincangan dengan pelbagai pemimpin parti pada minggu depan.

Mengenai konflik yang berterusan di bahagian timur negara yang kaya dengan sumber itu, beliau menyatakan bahawa tentera telah tewas dalam dua pertempuran, tetapi belum kalah dalam peperangan.

Tshisekedi menyifatkan resolusi terbaru Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) mengenai konflik itu sebagai kejayaan diplomatik apabila badan itu menyeru Rwanda untuk menghentikan sokongan kepada pemberontak M23 dan mengundurkan tenteranya dari timur Congo dengan segera.

-- BERNAMA