ISTANBUL: Jurucakap Rumah Putih Karoline Leavitt pada Sabtu berkata Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump yakin dengan keupayaannya untuk merundingkan perjanjian dengan Rusia bagi menamatkan konflik Ukraine, mencadangkan krisis yang berlarutan selama tiga tahun itu boleh berakhir seawal minggu ini.

"Presiden dan pasukannya sangat fokus untuk meneruskan rundingan dengan kedua-dua belah pihak dalam krisis ini bagi menamatkan konflik dan beliau sangat yakin kami boleh menyelesaikannya minggu ini," kata Leavitt kepada wartawan di South Lawn selepas pulang dari Persidangan Tindakan Politik Konservatif (CPAC), lapor Anadolu Ajansi.

Kenyataan itu dibuat selepas Trump mendakwa Presiden Ukraine Volodymyr Zelenskyy "tidak mempunyai sebarang kelebihan" dan perlu dikecualikan daripada rundingan damai akan datang dengan pemimpin antarabangsa.

Leavitt turut memaklumkan bahawa Penasihat Keselamatan Negara AS Matt Waltz akan bekerja sepanjang masa hujung minggu ini bagi memuktamadkan perjanjian, manakala Setiausaha Perbendaharaan Scott Bessent telah terlibat dalam perbincangan mengenai cadangan perjanjian dengan Ukraine untuk memanfaatkan sumber mineral mentah negara itu.

"Apabila bercakap mengenai mineral kritikal, ini adalah aspek penting bagi presiden. Ia sangat penting bagi beliau kerana ia akan membantu memulihkan dana pembayar cukai Amerika.

"Selain itu, ia juga akan menjadi satu perkongsian ekonomi yang hebat antara Amerika Syarikat dan untuk rakyat Ukraine dalam usaha mereka membina semula negara mereka berikutan konflik yang kejam ini," tambah Leavitt.

-- BERNAMA