Menurut Agensi Berita dan Penerangan Palestin (WAFA), OIC memuji usaha Kerajaan Norway serta semua negara yang menjadi penaja bersama dan menyokong resolusi itu.
Dalam satu kenyataan, OIC menegaskan bahawa semua langkah dan rancangan yang dilaksanakan oleh pendudukan Israel -- terutamanya perundangan yang menjejaskan kehadiran, operasi, dan kekebalan PBB, agensinya dan badan-badan lain termasuk UNRWA, serta pertubuhan antarabangsa dan negara ketiga di wilayah Palestin yang diduduki, termasuk Baitulmuqaddis Timur - adalah pelanggaran terhadap Piagam PBB dan resolusi berkaitan.
Tindakan ini, tegas OIC, merampas bantuan penting yang diperlukan oleh rakyat Palestin dan memburukkan lagi krisis kemanusiaan yang mereka hadapi.
OIC turut mengalu-alukan penerimaan resolusi lain oleh Perhimpunan Agung yang mengesahkan kedaulatan tetap rakyat Palestin di wilayah Palestin yang diduduki, termasuk Baitulmuqaddis Timur, serta penduduk Arab di Golan Syria yang diduduki ke atas sumber asli mereka.
Pertubuhan itu menggesa semua negara dan pertubuhan antarabangsa, termasuk PBB, agensi, dan badan-badannya, supaya meningkatkan usaha untuk menamatkan pendudukan Israel dan membolehkan rakyat Palestin melaksanakan hak-hak sah mereka, termasuk hak untuk menentukan nasib sendiri dan menubuhkan sebuah negara merdeka berdasarkan sempadan 4 Jun 1967, dengan Baitulmuqaddis Timur sebagai ibu negaranya.
-- BERNAMA