KUALA LUMPUR: Malaysia mengulangi komitmen berterusan dan sokongan padu terhadap perjuangan Palestin dan usaha damai yang mengiktiraf Palestin sebagai sebuah negara merdeka berdasarkan sempadan pra-1967, dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negaranya.

Komitmen itu dinyatakan Timbalan Menteri Luar, Datuk Mohamad Alamin menerusi kenyataan negara pada Persidangan Kaherah Peringkat Menteri untuk mempertingkatkan respons kemanusiaan di Gaza, 'Setahun Selepas Bencana Kemanusiaan di Gaza: Keperluaan Yang Mendesak, Penyelesaian Berkekalan' di Kaherah Mesir.

Mohamad turut menyatakan Malaysia turut mengalu-alukan gencatan senjata di Lubnan dan menzahirkan keperluan mendesak gesaan gencatan senjata yang segera dan kekal di Gaza, Palestin.

"Dalam Persidangan tersebut, Mohamad turut menyatakan sokongan dan keyakinan Malaysia terhadap proses perundangan antarabangsa yang lebih tegas kepada rejim Zionis Israel di atas kekejaman dan jenayah kemanusiaan dilakukan ke atas rakyat Palestin yang jelas melanggar undang-undang antarabangsa dan resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB)," katanya.

Pada masa yang sama, Mohamad juga menyatakan ucapan penghargaan Malaysia kepada Mesir di atas usaha berterusan dalam usaha perdamaian di Asia Barat serta memudahcara penghantaran bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin di Gaza melalui sempadan Rafah.

Beliau turut menzahirkan kesediaan Malaysia untuk berkolaborasi dengan Mesir dan lain-lain pemegang taruh demi memastikan saluran bantuan kemanusiaan kepada Gaza tidak dihalang dan tersekat.

Pada persidangan itu, Mohamad telah mengadakan mesyuarat dua hala dengan Menteri Luar Mesir Dr. Badr Abdelatty dan Menteri Luar Negeri Kedua Republik Singapura, Mohamad Maliki Osman.

Persidangan Kaherah Peringkat Menteri tersebut dianjurkan secara bersama oleh Presiden Mesir, Abdel Fattah El-Sisi dan Tuan Yang Terutama Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres.

Persidangan tersebut telah dihadiri lebih 100 buah negara anggota PBB, wakil-wakil agensi di bawah naungan PBB, organisasi serantau dan antarabangsa serta pertubuhan bukan kerajaan dan masyarakat sivil dalam usaha menangani krisis kemanusiaan di Gaza akibat operasi ketenteraan rejim Zionis Israel yang berterusan.

Penglibatan Malaysia dalam Persidangan tersebut memperlihatkan komitmen negara yang teguh dan tidak berbelah bahagi terhadap perjuangan Palestin serta usaha Malaysia untuk bekerjasama dengan negara-negara yang sehaluan dalam memperjuangkan keamanan berpanjangan di rantau Asia Barat demi kemanusiaan dan keamanan sejagat.