KUALA LUMPUR: Sudah lebih setahun serangan besar-besaran Israel ke atas Gaza yang menyebabkan puluhan ribu nyawa terkorban.

Rakyat Malaysia tidak pernah lupa untuk terus memberi sumbangan bagi meringankan beban yang ditanggung  mangsa.

Keprihatinan itu jelas terserlah melalui pelbagai usaha amal dan terbaharu Pertubuhan Kebajikan Harmoni dan Prihatin Malaysia (Harmoni Prihatin) menyalurkan sumbangan kepada rakyat Palestin sejak perang tercetus dan sehingga kini jumlah sumbangan mencecah hampir RM1 juta.

Pengasasnya, Nor Hashim Abdullah berkata, ia melibatkan sumbangan kewangan sebanyak RM15,000 sehari menerusi program 'Harmony Kitchen Gaza'.

Menurutnya, iai bagi penyediaan makanan kepada 4,000 rakyat di enam kem pelarian termasuklah di Nuseirat, Khan Younis, Mawasi, Bandar Gaza dan Utara Gaza.

Beliau berkata, Harmoni Prihatin juga pernah membuka dapur di Rafah namun terpaksa ditutup kerana kawasan tersebut dibom hingga rata.

"Bantuan yang diberikan bukanlah makanan semata-mata namun turut meliputi pelbagai sumbangan lain termasuklah bantuan keperluan asas seperti lampin pakai buang, susu bayi, ubat-ubatan, baju sejuk, barangan keperluan wanita, barangan dapur, wang tunai, bekalan air bersih dan sebagainya mengikut keperluan semasa.

"Kami sentiasa berdepan risiko kenaikan harga barang yang sangat tinggi dan melampau setiap hari namun sumbangan tetap perlu diteruskan agar menjadi sumber kekuatan dan harapan buat mereka yang terpaksa berdepan situasi getir dan perit setiap hari.

“Sumbangan rakyat di negara ini merupakan lambang solidariti dan ihsan umat Islam susulan penindasan dan kekejaman berterusan yang dilakukan oleh rejim Israel,” katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Rabu. 

Mengulas lanjut, Nor Hashim memberitahu, Harmoni Prihatin bertuah kerana memiliki wakil sukarelawan di Gaza untuk memantau dan mengendalikan aktiviti sumbangan di sana.

Jelas beliau, ia melibatkan pembelian barangan, memasak dan agihan makanan masakan yang dirakam secara harian dan dimuatnaik di media sosial sebagai bukti ketelusan kepada masyarakat yang menyumbang.

“Pada masa sama, laporan kewangan sumbangan turut direkodkan setiap hari bagi memastikan semua jumlah transaksi dikemaskini sebagai makluman kepada para penyumbang.

“Kami ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada rakyat Malaysia atas sokongan padu yang diberikan kepada Harmoni Prihatin dalam sama-sama membantu rakyat Palestin yang memerlukan di sana,” katanya.

Sementara itu, Nor Hashim turut menyeru semua rakyat Malaysia agar terus menyokong usaha murni ini melalui sumbangan, doa dan solidariti untuk membantu rakyat Palestin tanpa henti.

Jelasnya lagi, pihaknya sentiasa mengalu-alukan dan membuka jalinan kerjasama daripada mana-mana pihak atau badan korporat untuk menaja sumbangan makanan secara harian untuk program Dapur Gaza di sana.

"Bagi mereka yang ingin membayar zakat untuk mereka yang memerlukan di Gaza, Harmoni Prihatin juga menyediakan saluran untuk mengagihkan wang zakat anda di sana", tambahnya.

Sebarang pertanyaan atau sumbangan bolehlah menghubungi Harmoni Prihatin di talian +60197242120/ +60182997962 atau salurkan sumbangan anda ke akaun Maybank 5648 1060 2981 di bawah nama Pertubuhan Kebajikan Harmoni Dan Prihatin Malaysia (Ref: Dapur Gaza).

Harmoni Prihatin ditubuhkan secara rasmi pada 10 Julai 2024 lalu di mana sebelum ini menyalurkan sumbangan melalui kerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan lain sejak perang di Gaza tercetus.

Tujuan utama pertubuhan ini adalah untuk memberi bantuan kemanusiaan di samping membuka peluang kepada masyarakat untuk bersama-sama membuat amal kebajikan dan memberi bantuan kepada golongan yang memerlukan di dalam mahu pun luar negara.

Sekurang-kurangnya 45,097 orang telah terbunuh selama lebih 14 bulan sejak tercetusnya perang di antara Israel dan Hamas.

Pada masa sama, seramai 107,244 orang telah cedera di Semenanjung Gaza sejak perang bermula susulan serangan balas Hamas ke atas Israel pada 7 Oktober 2023.