Menurut Agensi Berita Palestin (WAFA), Majlis Keselamatan PBB (UNSC) telah mengadakan sesi tertutup berhubung situasi di Gaza lewat malam tadi.
Kaag ketika bercakap kepada pemberita di ibu pejabat PBB dengan merujuk keadaan tidak berperikemanusiaan yang dialami penduduk Gaza, memberi amaran bahawa halangan yang dihadapi PBB dan orang awam di wilayah itu menghalang matlamat utama untuk menyampaikan bantuan.
Penyelaras Kanan PBB itu berkata sejak April lepas beliau telah mengingatkan UNSC mengenai risiko keruntuhan undang-undang dan ketenteraman, khususnya khususnya isu ketidakpatuhan terhadap undang-undang dan rompakan, "yang semakin memburuk di tengah-tengah keadaan yang sudah sangat sukar, dan menjejaskan apa yang masih ada dalam fabrik sosial dan kestabilan."
Menurut beliau, sekiranya terdapat kemahuan politik dan pihak-pihak yang terlibat mencapai serta mematuhi perjanjian - seperti yang berlaku dalam kempen vaksinasi polio - "maka kita boleh menyampaikan bantuan kepada penduduk."
Kaag merujuk kepada permintaan yang telah mereka kemukakan kepada Israel, termasuk bekalan musim sejuk, bekalan kesihatan dan kekurangan bekalan asas di Gaza, sambil menyatakan bahawa beliau "telah membincangkan dengan kerajaan Israel tentang pendirian jelas badan dunia itu terhadap mandat Agensi Bantuan dan Kerja PBB untuk Pelarian Palestin (UNRWA), yang memainkan peranan amat penting, terutamanya di Gaza."
"Apa yang kita perlukan juga apabila bercakap mengenai bantuan kepada Gaza ialah membuka semula lintasan Rafah," katanya.
Pegawai PBB itu menegaskan bahawa Semenanjung Gaza perlu menghidupkan semula sektor komersialnya, kerana "penduduk mahu membeli pelbagai barangan dan kita perlu terus memberi tekanan."
-- BERNAMA