ANKARA: Kumpulan pejuang Palestin, Hamas membebaskan seorang askar wanita Israel di Gaza pada Khamis di bawah perjanjian gencatan senjata dengan Israel, lapor Agensi Anadolu.


Ringkasan AI
  • Hamas membebaskan seorang askar wanita Israel, Agam Berger, di Gaza sebagai sebahagian daripada perjanjian gencatan senjata dengan Israel.
  • Dua lagi tahanan Israel dijangka dibebaskan dalam pertukaran untuk 110 tahanan Palestin.
  • Fasa pertama perjanjian gencatan senjata yang berkuat kuasa pada 19 Januari telah menghentikan serangan Israel yang mengorbankan lebih 47,400 penduduk Palestin dan mencederakan lebih 111,000 orang sejak 7 Oktober 2023.


Agam Berger diserahkan kepada wakil Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah di kawasan Al-Razan di Kem Pelarian Jabalia di utara Gaza, menurut wartawan Anadolu.

Dua lagi tahanan Israel dijangka dibebaskan pada Khamis dalam satu pertukaran untuk 110 tahanan Palestin dalam penjara Israel.

Tentera Israel mengesahkan bahawa mereka menerima seorang askar Israel yang dibebaskan daripada Palang Merah dan dia akan dibawa keluar dari Gaza ke satu kemudahan tentera berhampiran penempatan sempadan Re'im untuk pemeriksaan awal.

Semasa majlis penyerahan, wakil Palang Merah dibawa ke pentas bagi menandatangani protokol pembebasan anggota tentera berkenaan.

Fasa pertama perjanjian gencatan senjata selama enam minggu berkuat kuasa pada 19 Jan, menghentikan serangan Israel yang telah mengorbankan lebih 47,400 penduduk Palestin, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, serta mencederakan lebih 111,000 sejak 7 Okt 2023.

Setakat ini, lapan tahanan Israel termasuk empat anggota tentera, telah dibebaskan sebagai pertukaran bagi 290 tahanan Palestin sejak perjanjian itu dikuatkuasakan.

Di bawah fasa pertama perjanjian itu, 33 tahanan Israel dijadual dibebaskan sebagai pertukaran bagi antara 1,700 hingga 2,000 tahanan Palestin.

Serangan Israel ke atas Gaza telah menyebabkan lebih 11,000 orang hilang serta kemusnahan besar, selain krisis kemanusiaan yang mengorbankan ramai warga emas dan kanak-kanak dalam salah satu bencana kemanusiaan global terburuk pernah direkodkan.

Mahkamah Jenayah Antarabangsa telah mengeluarkan waran tangkap pada November tahun lepas terhadap Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, dan bekas Menteri Pertahanannya, Yoav Gallant, atas tuduhan jenayah perang serta jenayah terhadap kemanusiaan di Gaza.

Israel juga berdepan kes genosid di Mahkamah Keadilan Antarabangsa berhubung serangannya ke atas wilayah berkenaan.

-- BERNAMA