WASHINGTON: Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS) Marco Rubio berbincang dengan Menteri Luar Mesir Badr Abdelatty pada Selasa mengenai perkembangan terkini di Gaza dan "perancangan pascakonflik" bagi menghalang kumpulan Palestin, Hamas daripada mentadbir enklaf itu, menurut Jabatan Negara AS seperti dilaporkan Agensi Anadolu (AA).

"Setiausaha Negara menegaskan kepentingan kerjasama erat untuk memajukan perancangan pascakonflik bagi memastikan Hamas tidak lagi boleh mentadbir Gaza atau mengancam Israel," kata jurucakap Jabatan Negara Tammy Bruce dalam satu kenyataan.

Rubio turut mengucapkan terima kasih kepada Mesir atas peranannya sebagai pengantara dalam mencapai perjanjian gencatan senjata Gaza dan pertukaran tawanan, serta usaha berterusan dalam menyalurkan bantuan kemanusiaan ke seluruh wilayah itu.

Dalam perbualan berasingan dengan Perdana Menteri dan Menteri Luar Qatar Sheikh Mohammed bin Abdulrahman Al Thani, Rubio menzahirkan penghargaan terhadap peranan Qatar dalam menjadi perantara gencatan senjata. Beliau turut menekankan kepentingan memastikan Hamas membebaskan semua baki tawanan.

Rubio turut menekankan bahawa "perbincangan untuk memajukan perancangan pascakonflik bagi tadbir urus dan keselamatan Gaza untuk jangka panjang adalah penting untuk kestabilan dan keselamatan serantau."

Perbincangan itu dibuat selepas Presiden AS, Donald Trump mencadangkan pemindahan penduduk Palestin dari Gaza ke Jordan dan Mesir, cadangan yang mendapat tentangan keras daripada kedua-dua negara itu.

Cadangan Trump itu dibuat seminggu selepas perjanjian gencatan senjata berkuat kuasa di Gaza pada 19 Jan, yang menghentikan sementara serangan genosid Israel yang telah mengorbankan lebih 47,300 rakyat Palestin, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, serta mencederakan lebih 111,000 yang lain sejak 7 Okt 2023.

-- BERNAMA