Antara yang hadir ialah pemimpin Perikatan Nasional (PN) termasuk Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin; Naib Presiden Bersatu, Datuk Seri Ronald Kiandee; Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Datuk Seri Saifuddin Abdullah, kumpulan penyokong Pas, Bersatu, UMNO serta ahli-ahli pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dari seluruh negara.
Dalam pada itu, beberapa pemimpin politik kelihatan memasuki kamar Mahkamah bagi mengikuti sesi pendengaran permohonan rayuan semakan kehakiman Najib Razak berkaitan Titah Adendum.
Sekitar jam 8.30 pagi, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas, Mohd Syahbuddin Hashim tiba disusuli Ahli Dewan Negara dari Pas, Nik Abduh Nik Abdul Aziz dan Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh selain Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz serta Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.
Turut kelihatan di pekarangan Istana Kehakiman ialah bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah.
Tidak ketinggalan wakil-wakil rkayat antaranya Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim; Ahli Parlimen Sik, Ahmad Tarmizi Sulaiman dan Ahli Parlimen Parit Buntar, Misbahul Munir Masduki turut hadir memberi sokongan.
Mahkamah Rayuan akan mendengar rayuan Najib pagi Isnin berhubung penolakan permohonannya untuk menjalani baki hukuman penjara enam tahun di bawah tahanan rumah.
Ia berdasarkan dakwaannya mengenai kewujudan Titah Adendum menyokong permohonan tersebut.
Pendengaran yang pada asalnya dijadualkan pada 5 Disember tahun lalu akan dimulakan pada jam 9 pagi di hadapan panel tiga hakim yang terdiri daripada Hakim Datuk Azizah Nawawi, Datuk Azhahari Kamal Ramli dan Datuk Seri Mohd Firuz Jaffril.